Oleh KAMARIAH KHALIDI dan MOHD. AZLI ADLAN
PUTRAJAYA – Bimbang mengenai kerahsiaan butir-butir peribadi selain kurang kesedaran menjadi antara faktor menyumbang kepada kadar pendaftaran Sistem Pangkalan Data Utama (Padu) rendah dalam kalangan warga Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, perkara tersebut perlu diberi perhatian berikutan setakat 2 Februari, hanya 33.4 peratus atau 8,173 orang daripada 24,471 pegawai dan kakitangan kementerian serta agensi melakukan pendaftaran Padu.
“Mungkin kesedaran belum sampai lagi, ada juga yang merasakan bahawa butir-butir peribadi itu tidak dirahsiakan, tetapi kita mempunyai jalan tertentu supaya semua dapat diselesaikan (kerana) itu semua faedah kita bersama.
“Memang setakat ini 33.4 peratus dari kalangan pegawai dan kakitangan sokongan KKDW yang telah mendaftar Padu.
“Tetapi kami telah mengusahakan beberapa langkah pada pertengahan bulan ini kita akan lakukan beberapa tindakan (dan) kita akan pastikan 100 peratus akan mendaftar dengan Padu,” katanya ketika ditemui selepas Perhimpunan Bulanan KKDW di sini semalam.
Di Besut, Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, sebanyak 40 peratus penjawat awam telah selesai mendaftar dalam Padu menjelang tarikh akhir ditetapkan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) pada 15 Februari ini.
“Lebih 600,000 kakitangan kerajaan telah mengemas kini akaun Padu masing-masing. Kita optimis pendaftaran Padu bagi semua kira-kira 1.5 juta penjawat awam itu dapat diselesaikan menjelang 15 Februari ini,” katannya.
No comments:
Post a Comment