Translate

Saturday, February 17, 2024

Guru besar tipu tuntutan RM1.3 juta

 

Oleh MOHD. AZLI ADLAN 

KUALA TERENGGANU – Empat individu termasuk seorang guru besar ditahan selepas dipercayai membuat tuntutan palsu berhubung kontrak pembekalan makanan asrama sebuah sekolah rendah di negeri ini. 

Tiga suspek wanita dan seorang lelaki itu dipercayai mengemukakan tuntutan palsu yang berjumlah RM1.3 juta tersebut pada 2022 dan tahun lalu. 

Mereka yang terdiri daripada seorang guru besar, ketua pembantu tadbir dan dua pengurus syarikat tersebut turut disiasat kerana mengemukakan tuntutan palsu bagi kontrak pembersihan sekolah rendah yang sama bernilai RM35,000. 

 Sumber berkata, kesemua suspek yang berusia dalam lingkungan 30-an hingga 50-an itu ditangkap selepas hadir memberi keterangan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Terengganu di sini pada pukul 11 pagi semalam. 

 “Siasatan awal mengesyaki mereka telah berkomplot dengan mengemukakan tuntutan palsu bagi pembekalan makanan minuman murid di asrama sekolah berkenaan. 

 “Tuntutan dilakukan untuk 100 murid, sedangkan sekolah tersebut cuma mempunyai 35 murid. Perbuatan tersebut disyaki dilakukan pada tahun lalu dan 2022,” katanya di sini semalam. 

 Siasatan lanjut berhubung kes itu masih diteruskan mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009. 

Sementara itu, Pengarah SPRM Terengganu, Hazrul Shazreen Abd. Yazid berkata, empat suspek tersebut akan dibawa ke Mahkamah Majistret di sini hari ini bagi mendapatkan perintah reman. 

“Saya tidak tolak kemungkinan akan ada tangkapan susulan dibuat berkaitan kes ini selepas ini,” kata beliau.

No comments:

Post a Comment