Oleh MOHD. AZLI ADLAN
KEMAMAN – Barisan Nasional (BN) menjangkakan bertanding 45 peratus daripada 245 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.
Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, ia merangkumi lebih 100 daripada 245 kerusi yang akan ditandingi di enam negeri terbabit.
Timbalan Perdana Menteri itu berkata, baki 55 peratus lagi bakal ditandingi Pakatan Harapan (PH), namun keputusan akhir bagaimanapun hanya akan diputuskan bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada minggu hadapan.
“Ini (komposisi 45 peratus BN, 55 peratus PH) berdasarkan kepada kerusi (DUN) (dimenangi) sedia ada.
“Sebab itu, peratus itu lebih kepada parti komponen dalam PH. Kita akan umum statistik (sebenar) apabila keputusan dimuktamadkan,” katanya di Pantai Penunjuk, Kijal di sini semalam.
Terdahulu beliau hadir pada majlis Korban Perdana dan Jamuan Rakyat anjuran BN Terengganu. Ahmad Zahid berkata, perbincangan kali terakhir dengan Anwar tersebut juga akan melibatkan penyelesaian beberapa kawasan DUN yang masih mempunyai pertindihan.
Dalam pada itu, beliau berkata, Biro Politik BN memutuskan setiap badan perhubungan di enam negeri terlibat agar mengemukakan sekurang-kurangnya tiga calon bagi setiap DUN.
“Kita akan lakukan saringan bukan hanya dari segi kebolehmenangan, kebolehterimaan dan bagaimana pengundi memberi dukungan kepada calon.
“Penelitian juga akan dibuat dengan Polis Diraja Malaysia, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan mahkamah syariah,” katanya.
PRN tidak lama lagi akan melibatkan 32 DUN di Terengganu, Kelantan (45), Selangor (56), Negeri Sembilan (36), Kedah (36) dan Pulau Pinang (40).
No comments:
Post a Comment