Translate

Wednesday, December 27, 2023

Hujan luar biasa punca kepala air di Jeram Mawar

KEMAMAN – Hujan luar biasa melebihi 106.5 milimeter (mm) pada masa singkat di Hulu Kemaman dipercayai punca berlakunya fenomena kepala air yang setakat ini telah mengorbankan tujuh nyawa di Jeram Mawar, Air Putih dekat sini pada Sabtu lalu. 

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Terengganu, Hassan As’ari Omar berkata, kawasan tersebut juga telah dilanda hujan selama tiga hari berturut-turut sejak 28 Jun lalu. 

“Kapasiti air di Sungai Teladas yang bersambung dengan beberapa batang sungai di Hulu Tembeling semakin meningkat berikutan hujan yang turut turun di kawasan Pahang itu pada 1 Julai lalu (Sabtu).

 “Kita percaya ia menyebabkan kawasan kawah tadahan air yang terdapat di kawasan punca air terjun di Sungai Teladas melimpah keluar membawa isipadu air, sisa kayu dan batu menimpa Jeram Mawar yang terdapat di bawahnya,” katanya di Kampung Air Putih di sini semalam. 

Hassan As’ari berkata, pihak bomba percaya keluarga Karim Abdullah, 39, yang sedang mandi-manda di Jeram Mawar pada masa itu tidak dapat berbuat apa-apa sebelum dihanyutkan kepala air berkenaan.

 Beliau berkata, berdasarkan pemantauannya di lokasi kejadian, kepala air yang menimpa kawasan itu dianggarkan melebihi lima meter.

 “Penduduk tempatan memberitahu fenomena sama pernah menimpa Jeram Mawar sebelum ini, namun tiada mangsa terlibat pada masa tersebut,” katanya.

No comments:

Post a Comment