Translate

Thursday, December 28, 2023

‘Saya mampu sediakan tabungan enam bulan gaji dengan syiling emas’

Oleh MOHD AZLI ADLAN dan KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA TERENGGANU – Kegilaan terhadap emas dalam kala­ngan rakyat Malaysia semakin memuncak sejak pandemik ­Covid-19 pada awal tahun 2020.

Kebanyakan golongan berpendapatan tinggi dan sederhana yang tidak begitu terjejas teruk pendapatan akibat pandemik Covid-19 telah beralih kepada emas sebagai instrumen pelaburan jangka panjang.

Ini dibuktikan oleh laporan syarikat pelaburan antarabangsa, Forex Suggest baru-baru ini yang mendapati, permintaan emas dalam bentuk jongkong dan syiling serta barangan kemas di negara ini telah melonjak kepada 18.5 tan pada tahun lalu.

Salah seorang pengumpul emas, Salmizi Saad, 42, mengakui, pandemik Covid-19 menjadi permulaan detiknya mula menyimpan emas secara konsisten.

Beliau memberitahu, membeli sekurang-kurangnya satu gram syiling emas setiap bulan sejak bulan April 2020 sebagai pelaburan jangka panjang.

“Kebetulan pada masa itu, bank-bank menawarkan moratorium terhadap baki pinjaman.

“Saya gunakan lebihan wang kerana penangguhan pembayaran pembiayaan bulanan itu untuk membeli emas,” katanya kepada Kosmo! di sini baru-baru ini.

Salmizi berkata, beliau kemudian mendalami ilmu pelaburan emas menerusi pembacaan dan maklumat berguna dikongsikan kawan-kawan serta pakar pelaburan.

“Alhamdulillah, tabiat berdi­siplin membeli syiling emas membolehkan saya akhirnya berjaya menyediakan tabung kecemasan keluarga berjumlah enam bulan gaji bulanan.

“Sebelum ini, ia (mempu­nyai tabung kecemasan) sekadar ­‘angan-angan’ walaupun saya sudah 15 tahun bekerja,” katanya.

Seorang lagi penyimpan syi­ling emas, Tajul Arifin Jamaludin, 41, pula berkata, sebenarnya tidak perlu tunggu menjadi kaya untuk memulakan pelaburan emas.

Beliau berkata, pelaburan emas paling berdaya tahan de­ngan ancaman inflasi global dan ia boleh dibeli secara bulanan mengikut kemampuan kewangan semasa.

“Tabiat membeli emas ini te­lah banyak membantu saya me­ngawal sikap boros daripada melakukan perbelanjaan yang tidak perlu.

“Sebenarnya lagi mudah me­ngumpul emas sebagai simpanan berbanding wang tunai,” katanya.

Tajul Arifin berkata, sepanjang hampir lima tahun beliau menyimpan syiling emas, kadar termurah pernah diperoleh adalah RM210 segram, manakala ter­tinggi, RM310 bagi kuantiti sama.

No comments:

Post a Comment