Translate

Wednesday, December 13, 2023

Pas kurang senang serangan peribadi terhadap Samsuri

 KEMAMAN – Pas kurang senang dengan serangan peribadi yang didakwa semakin menjadi-jadi dilemparkan terhadap calonnya, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar menjelang tempoh 48 hari pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman esok. 

 Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Nasrudin Hassan mendakwa, jentera parti lawan lebih banyak menyerang peribadi Menteri Besar Terengganu sepanjang tempoh kempen bermula 18 November lalu.

 “Naratif calon Pas tamak dimainkan, sudah jadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ru Rendang dan Menteri Besar Terengganu masih mahu jadi Ahli Parlimen (Kemaman).

 “Mereka juga kata Pas gagal memimpin kerajaan negeri (Terengganu), tiada pembangunan dan kemajuan,” katanya ketika berceramah di Unit Daerah Mengundi (UDM) Bandar Baru Cheneh, di sini kelmarin. 

 Nasrudin mendakwa, tohmahan tersebut tidak benar kerana pemilihan Ahmad Samsuri bukan ditentukan beliau sendiri, tetapi ketentuan kepimpinan parti Pas. 

 Dakwa beliau lagi, calon Pas itu sebenarnya berjaya memimpin Kerajaan Negeri Terengganu walaupun menhadapi cabaran sumber kewangan terhad. 

 “Saya bimbang (segelintir pengundi) percaya dan terpengaruh dengan naratif dimainkan (parti lawan) ini. 

 “Jentera pilihan raya kita (Pas) perlu tangkis dan jelaskan kepada pengundi isu ini,” katanya. 

 Nasrudin juga menasihatkan jentera Pas jangan terlalu yakin untuk mencapai kemenangan mudah pada PRK Kemaman. 

 Beliau risau ramai penyokong parti itu tidak keluar mengundi pada hari pengundian esok dan ia akan memberi kesan kurang baik kepada calon mereka.

No comments:

Post a Comment