Translate

Friday, December 29, 2023

‘Saya serik ke stadium tengok bola’

 

  • Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Seorang wanita serik untuk menonton perlawanan bola sepak di stadium selepas suaminya tiba-tiba meninggal dunia sewaktu menyaksikan perlawanan akhir Piala Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), Kuala Lumpur pada Jumaat lalu.

Nor Asiah Rashid, 37, berkata, suaminya, Mohd. Zaki Deraman, 57, tiba-tiba rebah sebelum di­sahkan meninggal dunia akibat serangan jantung di dalam stadium.
Kakitangan bank itu berkata, insiden tersebut berlaku beberapa minit sebelum berakhirnya aksi antara Terengganu FC (TFC) dan Johor Darul Ta’zim (JDT) berkenaan.

“Mungkin selepas ini saya tidak akan lagi menjejakkan kaki ke stadium (untuk menonton perlawanan bola sepak.

Suami (Mohd. Zaki) telah pergi buat selama-lamanya (sewaktu menonton perlawanan bola sepak di stadium),” katanya di sini semalam.

Jenazah Mohd. Zaki selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Baru Kuala Abang, Dungun pada Sabtu lalu.

Mengimbas kembali kejadian, Nor Asiah berkata, dia dan anaknya, Ziqry Ilham Haqyal, 9, yang duduk berasingan di dalam stadium hanya mengetahui Mohd. Zaki rebah apabila telefon bimbit suami yang dihubunginya dijawab oleh seorang anggota polis.

Dia terkejut anggota polis memberitahu keadaan me­nimpa suaminya sebelum dikejarkan ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Cheras untuk rawatan.

“Sebaik tiba di hospital, pegawai perubatan bertugas mengesahkan suami saya telah meninggal dunia.

“Dia (Mohd. Zaki) memang pernah terkena serangan jantung pada tahun 2019, namun saya tidak menyangka ia boleh berlaku lagi pada Jumaat lalu,” katanya.

Nor Asiah berkata, tidak ba­nyak perubahan ditunjukkan Mohd. Zaki sebelum meninggal dunia dan mereka sangat teruja ke SNBJ untuk memberi soko­ngan kepada TFC.

Begitupun, dia memberitahu, arwah suami tiba-tiba mencium dan memeluk erat badan saya seolah-olah petanda perpisahan sebelum memasuki SNBJ.

“Kami berpisah sebaik tiba di pekarangan stadium kerana saya duduk bersama anak (Ziqry Ilham Haqyal), manakala arwah suami bersama rakan-rakan,” katanya.

No comments:

Post a Comment