Translate

Friday, December 15, 2023

Dua kren gantri beroperasi Mac depan

 

Oleh MOHD. AZLI ADLAN 

KEMAMAN – Pelabuhan Kemaman yang dikendalikan Konsortium Pelabuhan Kemaman Sdn. Bhd. bakal meningkatkan keupayaan operasinya menerusi pemasangan dua kren gantri baharu di Dermaga Timur pada suku pertama tahun hadapan. 

 Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Epic Pacific Industrial Corporation Sdn. Bhd. (EPIC), Muhtar Suhaili berkata, melalui kren gantri yang akan meningkatkan keupayaan Pelabuhan Kemaman itu bakal membolehkan pelabuhan itu menambah keupayaannya menerima kargo kepada 10 juta metrik tan setahun berbanding empat juta metrik tan pada masa ini. 

 “Penggunaan kren gantri baharu ini juga bakal meningkatkan indeks prestasi pengendalian pelabuhan seterusnya menaikkan bilangan ketibaan kapal (kargo) di kawasan pelabuhan. 

“Kapasiti pemunggahan kargo dapat dimaksimumkan sekali gus akan dapat mengurangkan tempoh masa kapal-kapal menunggu dan berada di dermaga,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas sesi ujian dua kren gantri baharu di Dermaga Timur, Pelabuhan Kemaman di sini semalam. 

Turut hadir Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar.

 Konsortium Pelabuhan Kemaman adalah anak syarikat EPIC. Muhtar berkata, dua kren gantri terbabit telah dibekal dan diselenggara Eastern Steel Material Handling Sdn. Bhd. 

 Muhtar menerangkan, kren gantri itu berkeupayaan mengangkut sehingga 1,500 tan kargo sejam atau 2.6 juta tan setahun. 

 “Dermaga Timur juga bakal dilengkapi kemudahan tali sawat penyampai sepanjang 8.2 kilometer bagi kemudahan mengangkut kargo. 

“Tali sawat penyampai itu dibina dengan kerjasama JXR Manufacturing Sdn. Bhd.,” katanya. 

 Muhtar berkata, melihat kepada perkembangan operasi Dermaga Timur yang semakin pesat buat masa ini, syarikat menyasarkan keuntungan bersih adalah sebanyak RM14.5 juta menjelang tahun hadapan.  

No comments:

Post a Comment