Translate

Tuesday, December 26, 2023

Sekolah terlibat PRN di enam negeri telah dimaklum KPM

MARANG – Kementerian Pendidikan (KPM) mengesahkan sudah menerima senarai sekolah di enam negeri yang bakal terlibat sebagai pusat pembuangan undi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) yang bakal diadakan tidak lama lagi daripada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan, Shafruddin Ali Hussin berkata, senarai guru yang bakal menjadi petugas SPR pada PRN kelak juga sudah diterima KPM. 

“Saya difahamkan guru-guru terlibat akan mengikuti taklimat penugasan PRN yang dikendalikan SPR tidak lama lagi. 

“KPM pula akan memastikan kemudahan, aset dan prasarana sekolah yang disenaraikan sentiasa berada dalam keadaan baik dan bersedia untuk digunakan pada hari pengundian nanti,” katanya.

 Terdahulu, Shafruddin ditemui selepas merasmikan sambutan Jubli Perak Alumni Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Durian Guling 1997, di sini kelmarin.

 Shafruddin berkata, persediaan sedang dilakukan di sekolah yang akan dijadikan pusat pembuangan undi terbabit bagi memastikan kelancaran proses pengundian. 

Enam negeri iaitu Terengganu, Kelantan, Kedah, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan bakal terlibat dengan PRN dalam tempoh 60 hari setelah Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing telah dibubarkan secara berperingkat bermula 22 Jun lalu sehingga kelmarin. 

Sebanyak 245 kerusi DUN akan terlibat membabitkan 32 DUN di Terengganu, Kelantan (45), Kedah dan Negeri Sembilan masing-masing 36, Pulau Pinang (40) dan Selangor (56).

No comments:

Post a Comment