Translate

Wednesday, December 20, 2023

Kompleks Hospital Kemaman baharu siap Ogos tahun depan

 

KEMAMAN – Kemaman bakal mempunyai kompleks hospital baharu terletak di Bandar Baru Kijal di sini yang dijangka siap sepenuhnya pada Ogos tahun depan. 

Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa berkata, status pembinaan projek yang menelan belanja RM450 juta itu kini sudah siap 75 peratus. 

“Kita harap Hospital Kemaman yang baharu ini dapat beroperasi pada akhir tahun hadapan. 

“Ia akan dilengkapi 300 katil dan beberapa klinik pakar, pusat rawatan harian, lapan dewan bedah, unit rawatan rapi dan kecemasan,” katanya selepas meninjau Klinik Kesihatan Air Putih di sini semalam.

 Zaliha berkata, walaupun kompleks Hospital Kemaman yang baharu tersebut akan dibuka kelak, premis hospital sedia ada di bandar Chukai di sini tetap beroperasi. 

Jelas beliau, premis tersebut akan berfungsi sebagai pusat rawatan wanita dan kanakkanak bagi zon selatan Terengganu. 

Dalam perkembangan berkaitan Zaliha berkata, Kementerian Kesihatan turut telah menaik taraf 58 klinik daif di seluruh Terengganu tahun ini melibatkan peruntukan keseluruhan RM8.9 juta. 

Beliau berkata, sebanyak 54 daripada 58 klinik daif terbabit telah siap dinaik taraf termasuk Klinik Desa Binjai di sini. 

“Baki empat (klinik daif) lagi dijangka selesai sepenuhnya menjelang hujung tahun ini. 

“Pada tahun hadapan menerusi Belanjawan 2024, peruntukan RM175 juta telah diluluskan untuk Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu menerusi sembilan projek baharu,” jelasnya

No comments:

Post a Comment