Translate

Wednesday, December 27, 2023

10 sekeluarga ‘ditelan’ kepala air



Oleh MOHD AZLI ADLAN, NUR IZZATUL HAZWANI NIK ADNAN dan TENGKU DANISH BAHRI TENGKU YUSOFF 

KEMAMAN – Kegembiraan sembilan beranak termasuk seorang bakal menantu berkhemah di Jeram Mawar, Air Putih di sini, sempena cuti panjang persekolahan Sabtu lalu bertukar tragedi apabila mereka dihanyutkan arus deras akibat kepala air.

Tragedi malang yang menimpa keluarga tersebut berlaku pada waktu petang ketika mangsa sedang berada di kawasan jeram yang terletak kira-kira 15 kilometer dari jalan utama. 

Bagaimanapun, kejadian menimpa mangsa hanya diketahui pada tengah hari Ahad apabila penduduk menemui dua mayat selain sebuah Proton Gen 2 dan sebuah motosikal yang dihanyutkan arus. 

Mayat Azizah Eiyi, 40, ditemui terapung oleh penduduk kira-kira 24 kilometer dari tempat kejadian pada pukul 12.45 tengah hari pada Ahad, manakala mayat anaknya, Muhammad Zulqarnain Haikal ditemui tersangkut pada batang pokok pada jarak dua kilometer dari tempat kejadian kira-kira pukul 5 petang. 

Selain Azizah dan Zulqarnain, lapan lagi individu yang terlibat dalam kejadian itu ialah Karim Abdullah, 39, Putri Balqis Izzati Abdul Rahman, 18, Putri Alleya Maisarah Karim, 16, Putri Nor Fatin Karim, 14, Putri Nurerina Natasya Karim, 10, Muhammad Haziq Ziqree Karim, 6, dan Putri Aryana Umaira Karim, 4. 

Turut hilang adalah tunang kepada Putri Balqis Izzati iaitu Muhammad Fikri Saliman, 24, yang berasal dari Batu Pahat, Johor. 

Difahamkan, Karim yang merupakan suami Azizah kerap ke lokasi Jeram Mawar untuk memancing ikan dan beliau memang mengetahui mengenai kawasan itu kerana bekerja sebagai pemandu jentera berat di kawasan hutan. 

Dalam pada itu, operasi menyelamat mula digerakkan pasukan polis dan agensi berkaitan pada petang kelmarin termasuk menyusuri sepanjang sungai berkenaan selain kawasan jeram yang menjadi lokasi mangsa berkhemah. 

Ketua Polis Terengganu, Datuk Mazli Mazlan berkata, setakat petang semalam, enam mangsa telah dikenal pasti identiti, manakala empat lagi yang lain belum ditemui dan disahkan identitinya.

“Mayat ketiga yang ditemui ialah Muhammad Haziq Ziqree Karim, 6, dan mangsa ditemui oleh pasukan penyelamat di kawasan sektor B pencarian iaitu berhampiran Kampung Teladas,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Pusat Kawalan Operasi di Balai Polis Air Putih di sini semalam.

 Mazli berkata, kesemua mangsa ditemui antara pukul 11 pagi sehingga 1 tengah hari di sekitar lokasi kejadian sehingga 25 kilometer dari lokasi kejadian. 

 “Mayat mangsa ditemui terapung dan ada yang tersangkut pada kayu serta di tebing sungai,” katanya.

 Mazli berkata, usaha membawa keluar mayat dari lokasi ke pusat kawalan operasi giat dilakukan.

No comments:

Post a Comment