Translate

Saturday, December 9, 2023

Sasar 70 peratus keluar mengundi

 

KEMAMAN – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyasarkan 70 peratus daripada 141,790 pengundi yang layak keluar menunaikan tanggungjawab mereka pada hari pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman hari ini. 

 Pengerusi SPR, Tan Abdul Ghani Salleh berkata, sasaran itu berdasarkan peratusan keluar mengundi di kawasan Parlimen sama pada Pilihan Raya Negeri Ke-15 (PRN15) yang dilaksanakan pada 12 Ogos lalu.

 “Faktor cuaca dan pengundi luar yang dijangka tidak ramai pulang kerana faktor bajet juga mungkin mempengaruhi peratusan keluar mengundi esok (hari ini). 

“Apapun kita berharap peratusan keluar mengundi dapat ditingkatkan kepada 70 peratus,” katanya di Dewan Berlian Utama, Majlis Perbandaran Kemaman (MPK) di sini semalam. 

Beliau ditemui selepas memantau persiapan terakhir PRK Kemaman di pusat penjumlahan undi terbabit. 

Dalam perkembangan berkaitan, Abdul Ghani menasihatkan pengundi agar keluar awal memandangkan cuaca pada hari pengundian diramal hujan. 

Tambah beliau, persiapan rapi telah dilakukan bagi menghadapi kemungkinan banjir terutamanya di pusat-pusat pengundian di seluruh kawasan Parlimen berkenaan. 

“RO (Pegawai Pengurus Pilihan Raya Parlimen Kemaman) merupakan pengerusi bencana alam di sini.

 “Sebarang tindakan akan dibuat di kawasan terlibat pada masa berkenaan sekiranya berlaku banjir,” katanya. 

Abdul Ghani berkata, lebih 2,000 petugas SPR akan ditugaskan di semua 49 pusat pengundian yang mengandungi 244 saluran.

 Ujarnya lagi, keputusan PRK Parlimen Kemaman dijangka diumumkan secara rasmi selewat-lewatnya pada pukul 9.30 malam.

 PRK Kemaman menyaksikan pertembungan antara calon Barisan Nasional (BN), Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor dan Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar daripada Pas.

No comments:

Post a Comment