Translate

Monday, December 11, 2023

Raja Affandi ada tugas khas jika menang

Oleh MOHD. AZLI ADLAN 

KEMAMAN – Calon Barisan Nasional (BN), Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor bakal diberi tugas khas dalam kerajaan Persekutuan sekiranya memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman esok. 

 Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, bekas Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) itu akan diberi peranan sebagai penghubung antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Terengganu.

 “Insya-Allah dengan kedudukan beliau (Raja Mohamed Affandi), saya percaya kalau jadi ahli Parlimen, tidak akan jadi ahli Parlimen biasa.

 “Kita akan bagi tugas agar hubungan dengan kerajaan negeri dan Pusat baik,” katanya pada Ceramah Mega Perpaduan Madani di Geliga, di sini malam kelmarin. 

 Anwar berkata, Raja Mohamed Affandi bukan calang-calang individu kerana mempunyai perkhidmatan yang sangat cemerlang sewaktu berkhidmat sebagai Panglima ATM ke-19. 

 “Hendak naik (sebagai Panglima ATM) itu kena lalui pelbagai ujian dan rintangan, ada rekod sangat cemerlang sebelum diangkat.

 “Saya minta (pengundi) Kemaman pecah rekod angkat (Raja Mohamed Affandi) seorang yang telah banyak berjasa kepada negara,” ujarnya. 

 Anwar berkata, kemenangan calon BN yang mewakili Kerajaan Perpaduan amat penting menjadi signal jelas yang menunjukkan hasrat rakyat mahu politik negara yang lebih stabil. 

 Beliau berkata, kebajikan rakyat akan lebih terjaga sekiranya memiliki Kerajaan Persekutuan yang padu dan kuat. 

 Pada PRK Kemaman, Raja Mohamed Affandi ditentang calon Pas, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar yang juga Menteri Besar Terengganu.

No comments:

Post a Comment