Translate

Friday, December 22, 2023

Pas sasar 80 peratus undi orang muda

 

KEMAMAN – Pas menyasarkan memperolehi sekurang-kurangnya 80 peratus undi daripada lebih 79,000 pengundi muda pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman, Sabtu ini. 

 Ketua Pemuda Pas Terengganu, Mohd. Harun Esa berkata, golongan bawah 40 tahun di kawasan Parlimen ini sememangnya sudah memberikan sokongan padu terhadap parti tersebut sejak Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada akhir tahun lalu. 

 “Gelombang sokongan orang muda di Kemaman semakin besar pada Pilihan Raya Negeri ke-15 (PRN) pada bulan Ogos lalu. 

 “Mereka pada masa itu memilih Pas kerana tidak berpuas hati dan rasa tertipu dengan kerjasama Barisan Nasional (BN) bersama Pakatan Harapan (PH) selepas PRU15,” katanya di sini semalam.

 Mohd. Harun berkata, beliau menjangkakan undi pengundi muda pada PRK Parlimen Kemaman kali ini akan jauh lebih besar memandangkan pelbagai isu berbangkit dalam kerajaan Perpaduan. 

 Jelas beliau, anak muda Kemaman juga tidak berpuas hati terpaksa mengundi tiga kali dalam tempoh setahun berikutan petisyen dikemukakan BN di mahkamah. 

Dalam perkembangan sama, Mohd. Harun berkata, Pas memaksimumkan penggunaan media sosial bagi kukuhkan lagi pengaruh parti itu dalam kalangan pengundi muda. 

 Jelas beliau, media sosial menjadi medium menjelaskan isu-isu semasa sepanjang PRK Parlimen Kemaman ini.

 “Kita juga giat menjelaskan dasar-dasar dan bantuan kerajaan kepada golongan muda di negeri ini,” katanya. 

 Pada PRK Parlimen Kemaman, calon Pas, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar yang juga Menteri Besar Terengganu akan ditentang calon BN, Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor.

No comments:

Post a Comment