Translate

Thursday, December 21, 2023

Kebajikan orang Terengganu terjaga

 

Oleh MOHD. AZLI ADLAN 

KEMAMAN – Kerajaan Perpaduan yang memegang tampuk Persekutuan tidak pernah meminggirkan kebajikan rakyat Terengganu seperti didakwa Pas. 

 Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, rakyat negeri ini termasuk Kemaman turut menerima banyak manfaat menerusi pelbagai program kebajikan dikelolakan Kerajaan Pusat. 

 “Seramai 390,210 rakyat Terengganu berkelayakan menerima bayaran Sumbangan Tunai Rahmah (STR) berjumlah keseluruhan RM241.8 juta (pada tahun ini). 

 “Pesawah negeri ini pula seramai 4,483 orang juga menerima bantuan berjumlah keseluruhan RM4.6 juta,” katanya ketika ditemui di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Kampung Mak Chili di sini semalam.

 Ahmad berkata, kebajikan golongan memerlukan di Terengganu terus terbela menerusi bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berjumlah keseluruhan RM128 juta. 

 Ahli Majlis Tertinggi UMNO itu berkata, bantuan JKM itu dinikmati 23,623 orang golongan terbabit yang berkelayakan. 

 “Kita juga mengusahakan pelbagai pembangunan terutama sewaktu Barisan Nasional (BN) memerintah (kerajaan negeri Terengganu). 

 “Ia termasuk projek tebatan banjir di Kemaman yang sedang dalam proses disiapkan,” katanya. 

 Ahmad berkata, penyaluran bantuan dan pembangunan di Terengganu boleh semakin dilicinkan sekiranya calon BN, Jeneral (B) Raja Mohamed Affandi Raja Mohemad Noor terpilih sebagai Ahli Parlimen Kemaman pada Sabtu ini.

 Jelas beliau, Raja Mohamed Affandi boleh menjadi pemudah cara menghubungkan kerajaan negeri dan Pusat bukan sahaja kepada Kemaman, malah Terengganu. 

 “Beliau (Raja Mohamed Affandi) bukan sahaja banyak idea, malah memang asal Kemaman yang tahu kehendak orang tempatan. 

 “Sehubungan itu, saya seru mereka yang pernah menyokong BN kembalilah mengundi calon kita pada Pilihan Raya Kecil Kemaman kali ini,” katanya.

No comments:

Post a Comment