Translate

Monday, December 25, 2023

Lepasan SPM tiada sijil pilih bekerja

PETALING JAYA – Biarpun banyak peluang menyambung pengajian disediakan kepada lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang gagal termasuk Program Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), namun terdapat segelintir daripada mereka nekad memilih untuk bekerja bagi mengisi perut diri sendiri dan keluarga. 

Golongan ini kebanyakannya daripada keluarga susah. 

Alasan mereka adalah kerana tidak mahu terus menyusahkan ibu bapa untuk menyambung pengajian yang memerlukan belanja tinggi. 

Bagi mereka, tidak mempunyai sijil SPM bukan bermakna gagal dalam hidup, namun menganggap mencari dan menyimpan wang penting untuk kehidupan di masa depan. 

Di Shah Alam, Selangor, seorang remaja yang mahu dikenali Azim berkata, dia yang gagal mendapat sijil enggan menduduki semula peperiksaan itu sebaliknya tekad menjalankan bisnes menjual burger secara kecil-kecilan. 

Katanya, dia khuatir akan dibebani hutang untuk kos pengajian jika memilih untuk menyambung pelajaran, tambahan pula ramai graduan sukar memperoleh kerja selepas menamatkan pengajian.

 “Lebih baik saya mendalami ilmu perniagaan dan mengumpul duit untuk membesarkan bisnes yang baru bermula,” katanya, 

Turut mengambil langkah sama, seorang remaja di Pasir Puteh, Kelantan, Mohamad Fadli Fuad, 18, yang memaklumkan mengambil keputusan bekerja di pusat pendaratan ikan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Tok Bali sebagai tenaga buruh menyisih dan mengangkat ikan serta sumber laut lain.

 Katanya, kerja itu dilakukan bersama beberapa rakan yang gagal memperoleh sijil SPM 2022.

 Menurutnya, biarpun hanya mendapat upah antara RM40 hingga RM50 sehari, ia sudah cukup untuk menampung perbelanjaan hariannya dan menyifatkan tempat itu sebagai ‘sekolah kehidupan’ baginya untuk merebut peluang belajar berniaga ikan sambil makan gaji. 

“Gaji yang diperoleh dalam lingkungan RM1,500 sebulan, sebahagiannya dilaburkan dalam skim Amanah Saham Bumiputera (ASB) sebagai wang untuk mengumpul modal berniaga satu hari nanti.

 “Walaupun tiada sijil akademik, saya yakin niat bekerja dan menimba pengalaman di sini mampu untuk membina keluarga kelak,” ujarnya yang datang daripada keluarga susah. 

Rakannya, Arif Zainuddin, 18, berkata, keputusannya bekerja kerana tidak mahu menyusahkan ibu bapanya yang telah menanggung kehidupannya selama ini.

 Jelasnya, dia menjadikan tauke-tauke ikan di situ sebagai inspirasi untuk berjaya satu hari nanti.

 “Bukan semua tauke ikan yang ada berasal daripada keluarga senang dan sebab itulah, saya menjadikan mereka idola untuk menjadi peniaga ikan terbesar satu masa nanti,” ujarnya. 

Sementara itu, di Kuala Terengganu, Terengganu lepasan SPM yang gagal dalam subjek Sejarah dan Matematik dikenali Man, 18, berkata, dia menyimpan hasrat untuk membuka perniagaan keropok lekor suatu hari nanti. 

Jelasnya, dia yang bekerja sebagai pembantu kedai bertekad untuk belajar selok-belok menghasilkan keropok lekor terbaik sambil mengumpul modal untuk berniaga sendiri suatu hari nanti.

No comments:

Post a Comment