Translate

Monday, December 18, 2023

BN makin agresif pujuk pengundi di Kemaman

KEMAMAN – Tempoh kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman yang memasuki hari ke-10 semalam menyaksikan dua strategi berbeza antara dua parti bertanding, 

Barisan Nasional (BN) dan Pas. BN yang tewas dengan majoriti lebih 27,000 di kerusi Parlimen itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu dilihat amat agresif berusaha memikat hati pengundi. 

Sebaliknya Pas yang menguasai semua kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Terengganu tampak lebih santai terutama pada peringkat awal. 

Pendekatan berbeza itu kerana Pas optimis majoriti pengundi Kemaman tersebut yang mengundi parti itu pada PRU15 lalu tidak akan berubah hati memandangkan Pilihan Raya Negeri Ke-15 (PRN15) yang menyaksikan penguasaan penuh di keempat-empat Dewan Undangan Negeri (DUN) di kawasan Parlimen tersebut baru sahaja tiga bulan berlalu. 

BN pula perlu bekerja keras memujuk semula sebahagian besar penyokong-penyokong BN yang sebelum ini merajuk dengan memberi undi protes kepada Pas pada PRU15 dan PRN15 agar kembali memberi dukungan kepada calon parti tersebut pada PRK Parlimen Kemaman kali ini. 

 BN yang merupakan salah satu parti menganggotai Kerajaan Perpaduan di peringkat Pusat memanfaatkan sepenuhnya tempoh berkempen sejak hari pertama, 28 November lalu untuk menemui seramai mungkin pengundi di kawasan Parlimen berkenaan.

 Sebagai bekas Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), hujan lebat yang turun sepanjang tempoh berkempen ini bukan halangan calon BN, Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamad Noor memasuki segenap ceruk Kemaman untuk menyantuni pengundi. 

Buat julung-julung kalinya sejak BN dan PH bergabung sejak setahun lalu, jentera parti UMNO, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Amanah Negara (PAN) di negeri ini dilihat bersatu hati dengan mengiringi setiap kempen Raja Mohamed Affandi dari awal pagi hingga lewat malam. 

Biarpun ketiadaan Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang sedang bercuti sakit, pemimpin kanan BN dan PH lain seperti Datuk Seri Mohamad Hasan, Datuk Seri Wee Ka Siong, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, Datuk Seri Mahadzir Khalid, Datuk Seri Ahmad Maslan, Datuk Seri Mohamad Sabu dan Anthony Loke silih berganti turun padang membantu kempen. 

Berbeza dengan jentera Pas, pendekatan pada peringkat awal lebih santai dan lebih banyak tanpa kehadiran calon, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar. 

Pemimpin dan jentera Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pula tidak banyak kelihatan turun padang dalam tempoh 10 hari kempen ini mungkin kerana memberi tumpuan kepada Perhimpunan Agung Bersatu hanya baru berakhir Sabtu lalu.

Kesibukan sebagai Menteri Besar Terengganu yang perlu menghadapi bencana banjir yang melanda Kuala Terengganu dan utara negeri itu menyebabkan Ahmad Samsuri hanya banyak berada di Kemaman pada waktu malam untuk berkempen dalam skala kecil. 

Beliau hanya mula muncul dalam beberapa siri kempen dan ceramah kelompok sejak beberapa hari lalu setelah seakan-akan tercabar dengan kempen agresif BN. 

 Begitupun, masa Ahmad Samsuri dijangkakan agak terbatas sehingga Khamis ini ekoran komitmennya membentangkan Belanjawan Terengganu 2024 di Dewan Undangan Negeri (DUN) bermula semalam.

 Senario kempen mungkin berubah dengan kedua-dua parti pasti sudah mula melajukan tempo dengan menukar gear empat dan lima bagi memanfaat tempoh empat hari yang tersisa menjelang hari pengundian, Sabtu ini.

No comments:

Post a Comment