Translate

Thursday, December 7, 2023

Hari pengundian berlangsung harmoni

KEMAMAN – Cuaca cerah pada sebelah pagi dimanfaatkan sepenuhnya oleh penduduk daerah ini untuk keluar mengundi awal pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman semalam. 

Peratusan mengundi agak memberangsangkan dengan 48 peratus sudah menunaikan tanggungjawab mereka sebelum pukul 2 petang. 

Rata-rata proses pengundian di 49 pusat pengundian di seluruh kawasan Parlimen ini berjalan lancar dan harmoni.

 Kehadiran calon Barisan Nasional (BN) dan Pas iaitu Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor dan Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar yang meninjau beberapa pusat pengundian disapa meriah bukan sahaja pengundi, malah petugas parti berlainan. 

Sewaktu meninjau pusat pengundian, Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Baru Kerteh di sini, beberapa petugas Pas tidak kekok mengajak Raja Mohamed Affandi berswafoto bersama. 

Raja Mohamed Affandi dan Ahmad Samsuri tidak mengundi pada PRK Parlimen Kemaman kali ini kerana mereka masing-masing merupakan pengundi berdaftar di Parlimen Hulu Langat dan Besut.

 Ketua Polis Terengganu Datuk Mazli Mazlan berkata, seramai 112 anggota polis trafik bertugas di seluruh daerah ini bagi memastikan kelancaran proses pengundian. 

 Beliau berkata, sebagai langkah persediaan memastikan keharmonian perjalanan hari pengundian, sebanyak 12 pasukan Op Cantas telah ditubuhkan.

Setiap pasukan Op Cantas berkenaan telah ditempatkan di beberapa titik panas yang telah dikenalpasti di daerah ini.

 “Alhamdulillah, setakat ini, tiada maklumat kekecohan dilaporkan lagi,” katanya di sini semalam.

No comments:

Post a Comment