Translate

Thursday, September 30, 2021

33 pemborong, peniaga ayam Terengganu diarah turun harga

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Terengganu telah mengeluarkan 33 notis arahan menurunkan harga jualan kepada pemborong dan peniaga ayam segar di negeri ini sejak awal bulan ini.

Pengarah KPDNHEP Terengganu, Saharuddin Mohd. Kia berkata, pemberian notis arahan menurunkan harga itu terhadap dua pemborong dan 31 peniaga ayam segar di seluruh negeri ini.

“Pemborong dan peruncit yang menerima notis terbabit akur untuk menurunkan harga jualan masing-masing.

“Sehubungan itu, harga ayam standard di Terengganu kini telah turun pada kadar antara RM8.50 hingga RM9.50 sekilogram berbanding RM10 sekilogram sebelum ini,” katanya di sini hari ini.

Dalam perkembangan sama, Saharuddin berkata, sebelum ini, KPDNHEP negeri telah mengeluarkan 47 notis pengesahan maklumat barangan kepada pemborong dan peruncit terlibat berikutan kenaikan mendadak harga ayam segar sejak awal bulan ini.

Jelas beliau, pengeluaran notis itu membolehkan pihaknya mengetahui margin keuntungan yang telah diambil pihak berkenaan menerusi semakan harga barang dan kos belian.

Kosmo! 7 September lalu melaporkan harga ayam segar di seluruh negara termasuk Terengganu telah melonjak sehingga RM10 sekilogram disebabkan kenaikan kos dedak. – K! ONLINE

No comments:

Post a Comment