Translate

Monday, September 6, 2021

Pematuhan harga kawalan kit ujian kendiri Covid-19 sederhana

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Pematuhan harga kawalan kit ujian pantas Antigen Covid-19 di Terengganu pada hari pertama penguatkuasaannya hari ini hanyalah 50 peratus.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Terengganu, Saharuddin Mohd. Kia berkata, hanya lima daripada 10 premis yang menjual produk berkenaan di negeri itu mematuhi harga siling ditetapkan iaitu RM19.90.

Beliau berkata, 10 premis meliputi klinik dan farmasi yang diperiksa tersebut masing-masing terletak Kuala Terengganu (empat) manakala masing-masing dua buah di Kemaman, Besut dan Dungun.

“Pemeriksaan di klinik dan farmasi terlibat mendapati separuh lagi premis itu menjual kit ujian pantas Antigen Covid-19 melebihi harga siling ditetapkan.

“Begitupun, setakat ini tiada tindakan penguatkuasaan dikenakan kerana kita memberi tempoh seminggu sehingga 12 September ini untuk peniaga terbabit melakukan penyelarasan harga,” katanya di sini hari ini.

Saharuddin berkata, sekiranya harga kawalan kit ujian pantas Antigen Covid-19 itu masih tidak dipatuhi selepas tempoh ‘bertenang’, tindakan penguatkuasaan boleh diambil.

Jelas beliau, peruncit terlibat yang masih berdegil boleh disabitkan kesalahan mengikut Seksyen 11, Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011. – K! ONLINE

No comments:

Post a Comment