Translate

Wednesday, September 29, 2021

Syarifah Fazlina berdikari perluas klinik pergigian

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KEMAMAN – Menimba pelbagai ilmu perniagaan berkaitan klinik pergigian memberi ba­nyak pe­luang dan ruang kepada Dr. Syarifah Fazlina Syed Fadzil menjadi lebih berani mencabar diri berdepan dengan pelbagai rencah berniaga dalam industri tersebut.

Bukan mudah untuk berdiri dengan kaki sendiri jika sebelum ini Pengasas Kumpulan Klinik Pergigian Syarifah berada dalam zon selesa setelah berkhidmat di klinik perniagaan kerajaan selama empat tahun.

Berbekalkan restu dan sema­ngat daripada keluarga, Syarifah Fazlina, 40, yang berkelulusan Sarjana Muda Pembedahan Pergigian dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) memulakan langkah kanan dengan membuka kliniknya sendiri di Taman Geliga Sakti, Kemaman, Terengganu pada tahun 2008.

Komitmen dan usaha jerih perihnya itu kini membuahkan hasil dan empayar perniagaannya semakin berkembang maju dengan memiliki lapan cawangan termasuk yang terbaharu di Binjai, Kemaman, Terengganu.


“Bekerja sebagai penjawat awam memang selesa, namun jiwa saya lebih ke arah berniaga dan mahu berusaha untuk memiliki klinik pergigian sendiri.

“Sebagai persediaan, saya terpaksa memberi tumpuan untuk meningkatkan ilmu dan kemahiran dengan menghadiri banyak kursus jangka pendek dan kursus lanjutan pergigian yang dianjurkan di Singapura, Indonesia dan Kemboja,” katanya ketika ditemui di kliniknya di sini baru-baru ini.

Syarifah Fazlina menjelaskan, klinik sulungnya berusaha memberi kelainan kepada pe­langgannya dengan menawarkan kemudahan Orthopantomography (OPG) yang membolehkan gigi dan rahang pelanggan dilihat dengan lebih mudah menerusi imbasan X-ray.

“Ketika itu, klinik saya adalah yang pertama menawarkan perkhidmatan tersebut.

“Ia bertujuan untuk membantu doktor mengetahui masalah berkaitan gigi sekali gus menentukan kaedah rawatan yang terbaik, namun caj dikenakan amat berpatutan,” ujarnya.

Syarifah Nazlina menerangkan pelan perniagaannya berkembang secara semula jadi sehingga mampu membuka cawangan di luar Terengganu iaitu di Kuantan serta Temerloh, Pahang.


Lebih memberi semangat, suaminya, Wan Abdul Hakim Wan Muhammad, 41, telah melepaskan jawatannya di sebuah syarikat minyak dan gas untuk memberi tumpuan kepada perniagaan dalam Kumpulan Klinik Pergigian Syarifah.

Buat masa ini, klinik tersebut menawarkan perkhidmatan pemeriksaan, cabutan, tampalan, cucian, pemutihan, pembedahan dan tanam gigi, rawatan akar, veneer, braces serta pencegahan yang dibantu oleh 16 doktor gigi dan 84 kakitangan sokongan.

Melihat kepada perkemba­ngan baik dalam bidang tersebut selain permintaan tinggi daripada pelanggan, beliau mengunjurkan untuk membuka cawa­ngan baharu di semua daerah di Terengganu dalam tempoh lima tahun akan datang.

“Syukur, kami masih mampu membuka cawangan baharu ketika negara dilanda krisis kesihatan ekoran wabak maut Covid-19.

“Pandemik telah menyebabkan ramai pelanggan memilih untuk mendapatkan rawatan yang lebih cepat di klinik pergigian swasta.

“Apatah lagi pusat kesihatan kerajaan kini mengehadkan kehadiran pesakit harian,” katanya.

Seiring dengan perkembangan semasa, Syarifah Fazlina turut tidak terkecuali untuk terus aktif mempromosikan perkhidmatan Klinik Pergigian Syarifah di media sosial seperti Facebook, In­stagram, Twitter dan Tik Tok.

No comments:

Post a Comment