Translate

Monday, September 13, 2021

Negeri kurang vaksinasi diarah agresif cari penerima

 Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Gerakan lebih agresif untuk mencari individu layak divaksin akan dilakukan di tujuh negeri yang masih rendah kadar vaksinasi iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang, Kedah, Perak, Sabah dan Johor.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, strategi tersebut bertujuan untuk meningkatkan kadar vaksinasi di kesemua negeri itu bagi membolehkan sasaran imuniti kelompok pada hujung bulan hadapan tercapai.

“Kita mendapati hampir semua individu (termasuk di enam negeri tersebut) yang mendaftar di aplikasi MySejahtera telah mendapat janji temu masing-masing.

“Kita ini perlu mencari mereka yang tidak mendaftar (menerusi aplikasi MySejahtera) bagi divaksinkan,” katanya selepas memantau program Outreach Vaksinasi Covid-19 di Kampung Losong Feri di sini semalam.

Setakat ini, kadar lengkap vaksinasi di Terengganu ialah 66.73 peratus, Johor (59.2 peratus), Pahang (56.8 peratus), Perak (53.7 peratus), Kelantan (51.4 peratus), Sabah (48.6 peratus) dan Kedah (52.1 peratus).

Adham berkata, selain membenarkan penerima divaksinasi secara walk-in di pusat pemberian vaksin (PPV) terpilih di semua negeri-negeri tersebut, program outreach juga akan diperbanyakkan.

Beliau berkata, petugas kesihatan akan bergerak ke lokasi sasasaran terutama pedalaman bagi membantu individu yang sukar ke PPV terutama dalam kalangan orang kelainan upaya (OKU) untuk menerima vaksin Covid-19. – K! ONLINE

No comments:

Post a Comment