Translate

Thursday, September 30, 2021

Pencuri pokok hiasan RM50,000 diberkas

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Dua lelaki ditahan kerana disyaki mencuri tiga pokok hiasan bernilai kira-kira RM50,000 milik seorang ahli perniagaan wanita di daerah ini pada minggu lalu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Terengganu, Superintendan Suffian Sulaiman berkata, kedua-dua suspek berusia dalam lingkungan 30-an ditahan di sekitar bandar raya ini pada kelmarin.

Beliau berkata, siasatan awal mempercayai mereka merupakan orang tengah yang menjual tiga pokok hiasan jenis Monstera Albo Marble, Monstera Aurea Marble dan Monstera Albo Halfmoon menerusi urus niaga online pada harga RM3,500.

“Suspek pertama menggunakan akaun media sosialnya untuk mempromosi tiga pokok hiasan dicuri itu sebelum menjualnya kepada pelanggan.

“Suspek kedua pula membenarkan akaun bank peribadinya digunakan untuk urus niaga pokok hiasan terbabit,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.

Suffian berkata, siasatan awal juga mendapati kesemua pokok hiasan itu dihantar kepada pelanggan menerusi perkhidmatan penghantaran barang oleh sebuah syarikat kurier terkenal.

Tambah beliau, suspek utama yang dipercayai menjadi dalang mencuri pokok hiasan terbabit juga sedang diburu.

Kosmo! 17 September lalu melaporkan seorang wanita, Rus Majida Hassan, 34, memuat naik hantar ke akaun Facebooknya memohon bantuan orang ramai mencari tiga pokok hiasan kesayangan yang dicuri di pekarangan rumahnya pada 13 September lalu.- K! ONLINE

No comments:

Post a Comment