Translate

Wednesday, September 29, 2021

Dos ketiga vaksin Covid-19 libat 323,000 rakyat Terengganu

 Oleh MOHD AZLI ADLAN

HULU TERENGGANU – Seramai 323,000 rakyat Terengganu telah dikenalpasti sebagai penerima dos penggalak vaksin Covid-19.

Pengarah Kesihatan Terengganu, Dr. Kasemani Embong berkata, ia merangkumi 31,000 petugas barisan hadapan, warga emas (104,000) dan komotbiditi (188,000).

“Mereka dijangka menerima dos ketiga atau penggalak tersebut di klinik kesihatan atau hospital berhampiran.

“Ia disebabkan semua pusat pemberian awam dan integrasi di negeri ini akan ditutup sepenuhnya pada 15 Oktober depan,” katanya ketika memantau program suntikan vaksin Covid-19 melibatkan masyarakat Orang Asli di Kampung Sungai Berua di sini hari ini.

Kasemani memberitahu, program pemberian dos penggalak itu akan bermula setelah pihaknya menerima arahan pelaksanaan di peringkat negeri oleh Kementerian Kesihatan.

Tambahnya, secara dasarnya, Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu tidak mempunyai masalah untuk melaksanakan program terbaharu tersebut kerana bekalan vaksin adalah mencukupi.

Kosmo! hari ini melaporkan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, garis panduan berhubung proses agihan dos ketiga atau dos penggalak vaksin Covid-19 bakal dibentangkan pada mesyuarat Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Vaksin Covid-19 (JKJAV) minggu depan. – K! ONLINE.

No comments:

Post a Comment