Translate

Saturday, September 18, 2021

Pendidikan pemuliharaan penyu perlu dipergiat

 

KEMUNCULAN semula seekor penyu agar betina mendarat untuk bertelur di Pantai Batu Burok, Kuala Terengganu pada 17 Ogos lalu petanda baik yang menggembirakan.

Ketua Penyelidik Unit Penyelidikan Penyu (Seatru) Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Dr. Mohd. Uzair Rusli berkata, pendaratan di pantai peranginan terbabit membuktikan pesisir negeri Pantai Timur yang sepanjang 245 kilometer masih sesuai

untuk pembiakan haiwan reptilia berkenaan. "Kawasan pantai Terengganu masih menjadi pilihan penyu di sebalik kebimbangan penurunan bilangan pendaratan haiwan reptilia itu untuk bertelur di negeri ini sejak kebelakangan ini.

"la sesuatu yang menginsafkan dan kita perlu lebih proaktif melakukan penambahbaikan bagi menggalakkan lebih banyak penyu mendarat untuk bertelur," katanya kepada Panorama baru-baru ini. Mohd. Uzair berkata, perkara asas yang patut dilakukan ialah mengurangkan pencahayaan secara terus ke arah pantai.

Ketua Makmal Penyelidikan Luar Institut Oseanografi dan Sekitaran UMT itu mencadangkan lebih banyak lampu berwarna merah digunakan kerana kajian membuktikan penyu kurang sensitif terhadap gelombang cahaya warna tersebut.

"Pihak berkuasa tempatan (PBT) juga disaran untuk menanam lebih banyak pokok renek seperti spesies merambung di pesisir pantai di negeri ini. Kewujudan pokok renek itu penting untuk melindungi penyu dan aktiviti persarangannya," katanya.

Mohd. Uzair berkata, usaha mendidik masyarakat terutama generasi muda agar tidak menjadi ancaman terhadap penyu juga perlu digiatkan. Tambah beliau, lebih banyak papan tanda pemberitahuan bagi memaklumkan perkara yang boleh dan tidak boleh dilakukan perlu dipasang di kawasan pantal pusat persarangan haiwan reptilia itu.

"Kita perlu mendidik masyarakat agar bukan sahaja tidak mengganggu proses pendaratan penyu, malah tidak memakan telur penyu demi kelestarian spesies berkenaan yang semakin terancam," katanya.

No comments:

Post a Comment