Translate

Monday, September 6, 2021

Terengganu fokus pulih ekonomi, aktiviti rakyat pada 2022

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Kerajaan negeri Terengganu akan memberi fokus kepada pemulihan semula ekonomi dan aktiviti rakyat negeri ini bagi pembentangan Bajet 2022 tidak lama lagi.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, agenda tersebut sangat penting apabila negara dijangka keluar daripada fasa pandemik Covid-19 tidak lama lagi.

“Kita akan memasuki fasa endemik pada tahun 2022 dan menjadi keutamaan kerajaan negeri Terengganu untuk memulihkan semula ekonomi dan aktiviti rakyat negeri ini yang terjejas teruk akibat Covid-19.

“Ia akan menjadi fokus kepada input Bajet 2022 yang akan dibentangkan pada hujung tahun ini,” katanya selepas menyerahkan bantuan bekalan air di Dewan Sivik Buluh Gading di sini hari ini.

Ahmad Samsuri berkata, kerajaan negeri Terengganu mengalu-alukan sebarang cadangan daripada rakyat negeri berkenaan berhubung pembentangan bajet tersebut.

Ujar beliau, selain itu, kerajaan negeri Terengganu sedang mendapatkan pandangan daripada badan bukan kerajaan, kumpulan pemikir, golongan profesional dan akademik.

“Saya mahu cadangan-cadangan membina bagi memulihkan semula ekonomi dan aktiviti rakyat Terengganu pada kita memasuki fasa endemik kelak,” katannya. – K! ONLINE

No comments:

Post a Comment