Translate

Monday, September 6, 2021

Negeri rendah vaksinasi terima lebih bekalan

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA NERUS – Kerajaan optimis imuniti kelompok iaitu 80 peratus lengkap vaksinasi Covid-19 dalam kalangan populasi dewasa negara ini dapat dicapai mengikut jadual pada akhir bulan depan.

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Sains, Datuk Ahmad Amzad Hashim berkata, enam negeri yang mempunyai kadar vaksinasi rendah iaitu Terengganu, Perak, Johor, Kedah, Kelantan dan Sabah sudah mula menerima bekalan vaksin Covid-19 lebih banyak pada bulan ini.

“Banyak pusat pemberian vaksin (PPV) di Lembah Klang sudah ditutup kerana telah mencapai sasaran (imuniti kelompok) maka bekalan vaksin yang lebih banyak telah diedarkan ke negeri-negeri tidak mempunyai risiko terlalu tinggi seperti Terengganu, Kedah, Kelantan dan Johor.

“Bekalan (vaksin Covid-19) ini mencukupi untuk kita mencapai imuniti kelompok mengikut jadual ditetapkan,” katanya ketika ditemui selepas mengagihkan bekalan air kepada penduduk Seberang Takir di sini hari ini.

Ahmad Amzad berkata, pendekatan pemberian vaksin Covid-19 secara walk-in dan memperbanyakkan lagi program outreach di kawasan pedalaman telah diambil bagi meningkakan kadar vaksinasi di negeri-negeri terlibat.

Tambah beliau, kebanyakan vaksin satu dos CanSino dari China yang diperolehi baru-baru juga akan diagih-agihkan di negeri-negeri rendah kadar vaksinasi terutama Sabah dan Terengganu.

Dalam perkembangan sama, Ahmad Amzad yakin Terengganu yang kini baru 50.3 peratus penduduknya lengkap dua dos vaksin Covid-19 bakal mencapai imuniti kelompok selewat-lewatnya awal bulan depan.

“Sebanyak 560,000 dos vaksin Covid-19 lagi akan diterima di Terengganu pada bulan September sekali gus membolehkan kita melengkapkan vaksinasi dalam kalangan 80 peratus populasi dewasa negeri ini sebelum bermulanya musim tengkujuh,” katanya. – K! ONLINE

No comments:

Post a Comment