Oleh MOHD AZLI ADLAN
KUALA TERENGGANU – Program vaksinasi Covid-19 dalam kalangan remaja berusia 12 hingga 18 tahun di Terengganu dijangka bermula pada akhir bulan ini.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, berdasarkan data, ia akan melibatkan 93,262 pelajar sekolah di seluruh negeri ini.
“Kadar peratusan vaksinasi lengkap bagi populasi dewasa di Terengganu kini melebihi 66 peratus dan dijangka boleh mencapai imuniti kelompok pada hujung bulan ini.
“Oleh itu, kita sudah boleh memulakan program vaksinasi dalam kalangan remaja negeri ini sebaik 80 peratus populasi dewasa selesai menerima dua dos vaksin Covid-19,” katanya selepas memantau program Outreach Vaksinasi di Losong Feri di sini hari ini.
Adham berkata, program vaksinasi dalam kalangan remaja Terengganu akan dilaksanakan secepat mungkin sebaik mendapat persetujuan Kementerian Kesihatan.
Tambah beliau, mengikut perancangan asal, pelajar terbabit akan menerima vaksin Covid-19 tersebut di sekolah masing-masing.
Dalam pada itu, Adham memberitahu setakat ini, seramai 87,538 warga emas dan 16,093 orang kelainan upaya (OKU) di Terengganu telah lengkap dua dos vaksin Covid-19. – K! ONLINE
No comments:
Post a Comment