Translate

Thursday, September 30, 2021

Bahan bacaan Muslim Care Malaysia untuk banduan

 Oleh MOHD AZLI ADLAN

MARANG – Seramai 2,600 penghuni Penjara Marang ceria menerima sumbangan bahan bacaan daripada badan bukan kerajaan, Muslim Care Malaysia.

Pengerusi Muslim Care Malaysia, Zulkifli Wahijan berkata, bahan bacaan tersebut terdiri daripada 1,000 naskhah buku, kitab, novel dan majalah sumbangan orang ramai.

“Kita terpanggil untuk melakukan inisiatif ini selepas dimaklumkan banyak aktiviti fizikal melibatkan penghuni penjara seperti ceramah agama tidak boleh dilakukan berikutan pandemik Covid-19.

“Harapan kita pemberian bahan bacaan ini bukan sahaja menghilangkan kebosanan malah dapat mengisi minda dan kerohanian penghuni penjara terbabit,” katanya di Penjara Marang di sini hari ini.

Terdahulu beliau menyampaikan sumbangan bahan bacaan itu kepada Pengarah Penjara Marang, Nik Robidin Ab. Rahman sambil disaksikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Berangan, Sulaiman Sulong.

Sebelum ini, Muslim Care Malaysia turut menyumbang 2,000 bahan bacaan kepada Penjara Penor di sini dan Penjara Bentong, Pahang pada kelmarin.

Zulkifli berkata, Muslim Care Malaysia turut menyumbang 25 helai telekung baharu untuk kemudian penghuni wanita penjara tersebut beribadah.

Tambah beliau, pihaknya akan mempertimbangkan sumbangan bahan bacaan sama kepada penghuni penjara-penjara lain di negara ini sekiranya mendapat permintaan. – K! ONLINE

No comments:

Post a Comment