Translate

Wednesday, September 15, 2021

Sultan Terengganu titah teliti semula perbelanjaan ‘one off’

 Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin menyarankan perbelanjaan secara ‘one off’ atau sekali bayar diteliti semula berdasarkan kedudukan dan komitmen kewangan semasa kerajaan negeri.

Sebaliknya, baginda menitahkan fokus perlu diberikan kepada keperluan jangka panjang dan pertumbuhan ekonomi negeri yang lebih mampan.

“Beta berharap dalam belanjawan tahun-tahun yang akan datang, kerajaan negeri memberikan fokus kepada perbelanjaan untuk pertumbuhan dan pemulihan ekonomi negeri.

“Kerajaan negeri Terengganu perlu merangka dan bersedia melaksanakan pelbagai strategi pemulihan berkesan dan komprehensif bagi memulihkan ekonomi negeri,” titah baginda ketika merasmikan Istiadat Pembukaan Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu ke-14 di sini hari ini.

Titah Sultan Mizan dibacakan oleh Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Samsuri Moktar.

Sultan Mizan bertitah, penularan wabak Covid-19 turut memberi kesan kepada ekonomi Terengganu apabila Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) menguncup -5.7 peratus pada tahun lalu berbanding 3.3 peratus pada tahun 2019.

Tambah baginda, kadar pengangguran negeri juga meningkat kepada 4.1 peratus pada tahun lalu berbanding 3.5 peratus pada tahun sebelumnya. – K! ONLINE

No comments:

Post a Comment