Translate

Wednesday, September 15, 2021

70 peratus pelajar UniSZA masuk kampus 15 Oktober depan

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA NERUS – Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) menganggarkan 70 peratus daripada pelajarnya akan memasuki kampus secara berperingkat mulai 15 Oktober depan.

Pemangku Naib Canselor UniSZA, Prof. Dr. Fadzli Adam berkata, keutamaan akan diberikan kepada enam kategori pelajar berkeperluan yang sudah melengkapkan vaksinasi masing-masing.

“Keutamaan diberi kepada pelajar yang memerlukan kemudahan kampus untuk praktikal, makmal, klinikal, latih amal, studio, bengkel dan peralatan khas.

“Selain itu, ia turut melibatkan pelajar badan beruniform yang perlu melengkapkan silibus dan tidak mempunyai akses serta persekitaran kondusif bagi pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara online,” katanya di sini hari ini.

Terdahulu, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad mengumumkan kemasukan pelajar yang lengkap vaksinasi ke IPT akan dilaksanakan secara berperingkat bermula 15 Oktober depan.

Fadzli berkata, keutamaan juga diberikan kepada pelajar baharu, antarabangsa, berkeperluan khas, peringkat Asasi, Diploma dan Ijazah serta akan menduduki peperiksaan antarabangsa dan badan profesional.

Menurut beliau, setakat ini, 86 peratus pelajar UniSZA telah melengkapkan vaksinasi Covid-19 dan ia dijangka meningkat kepada 90 peratus menjelang penghujung bulan ini.

“Begitupun, kita cuma sasar kemasukan 70 peratus pelajar ke kampus secara berperingkat pada pertengahan bulan depan dan November ini bagi memudahkan pengurusan kemasukan pelajar ke kampus selain mengelakkan perhimpunan ramai atau kesesakan,” katanya. – K! ONLINE

No comments:

Post a Comment