Oleh MOHD AZLI ADLAN
KUALA TERENGGANU – Seorang lelaki dalam kalangan orang kelainan upaya (OKU) yang terlantar ceria menerima kehadiran petugas kesihatan untuk memberi dos pertama vaksin Covid-19 di rumahnya di Losong Feri di sini hari ini.
Tambah mengharukan Jasni Azmir Abdullah, 23, vaksin Covid-19 tersebut disuntik sendiri oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr. Adham Baba.
Bapanya, Abdullah Othman, 57, berkata, anak lelakinya yang terlantar berikutan masalah saraf otak sejak lahir telah mendaftar untuk menerima vaksin tersebut menerusi aplikasi MySejahtera sejak bulan Februari lalu.
“Pendaftaran vaksinasi Covid-19, Jasni Azmir dibantu oleh kakaknya, Nor Zaitul Afzan, 35. Dia tetap berisiko dijangkiti wabak itu walaupun hanya terlantar dan tidak keluar rumah.
“Saya terharu dengan kesudian Datuk Seri Dr. Adham berkunjung ke rumah saya untuk menyuntik sendiri Jasni Azmir,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Losong Feri di sini hari ini.
Abdullah menjelaskan, keadaan Jazni Azmir yang terlantar menyukarkan dia sekeluarga untuk membawa anak bongsu daripada lapan beradik itu menerima vaksin di PPV berhampiran.
Tambahnya, masalah saraf otak yang dihadapi sejak lahir menyebabkan pertumbuhan tubuh anaknya daripada paras pinggang ke bawah terencat selain menghadapi masalah pertuturan dan penglihatan. – K! ONLINE
No comments:
Post a Comment