Translate

Thursday, September 16, 2021

Tiada pampasan untuk penduduk terjejas krisis air

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Kerajaan negeri Terengganu tidak berhasrat untuk membayar pampasan kepada 28,700 keluarga yang terjejas dengan krisis air di daerah ini dan Kuala Nerus baru-baru ini.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau Terengganu, Mamad Puteh berkata, bantuan diberikan terhadap pengguna terjejas sudah mencukupi dan tidak menjadi masalah besar kepada mereka tetap menerima bekalan air sepanjang tempoh krisis air tersebut.

Beliau berkata, sepanjang tempoh itu, sebanyak 2.5 juta liter bekalan air telah dihantar kepada penduduk terlibat pada setiap hari menerusi 30 lori tangki sehingga berakhirnya krisis air berkenaan pada 10 September lalu.

“Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar telah meluluskan peruntukan RM1.04 juta bagi penyaluran bekalan air, air minuman dan mineral kepada penduduk terjejas selain sumbangan tanggungjawab sosial korporat daripada syarikat berkaitan kerajaan.

“Lagi tidak menjadi dasar kerajaan negeri sejak dahulu untuk membayar pampasan sekiranya berlaku masalah gangguan air,” katanya ketika mengulung perbahasan titah Diraja pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu di sini hari ini.

Terdahulu, Bazlan Abdul Rahman (BN-Batu Rakit) sewaktu membahaskan titah Diraja semalam mencadangkan kerajaan negeri Terengganu agar membayar pampasan sekurang-kurangnya RM500 kepada setiap isi rumah yang terjejas dengan krisis air di daerah ini dan Kuala Nerus.

Kosmo! hari ini melaporkan kerajaan negeri Terengganu mengesahkan berlaku hakisan 80 meter pada kawasan paip utama yang pecah di Sungai Terengganu pada awal bulan lalu dipercayai disebabkan aktiviti pengorekan pasir. – K! ONLINE

No comments:

Post a Comment