Translate

Monday, February 5, 2018

Tukang rumah cedera parah terkena tembakan senapang patah anggota Perhilitan

BESUT - Seorang tukang rumah yang menyertai operasi memburu babi hutan cedera parah terkena tembakan dilepaskan secara tidak sengaja oleh seorang anggota Jabatan Perlindungan Haiwan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) di sebuah kebun kelapa sawit Kampung Padang Buloh, Pasir Akar, Jerteh dekat sini hari ini.

Dalam kejadian pada pukul 3 pagi itu, pinggang dan lengan kiri Mohd. Saiful Bahri Sulaiman, 29, berlubang akibat terkena peluru tabur daripada senapang patah seorang anggota Perhilitan yang tergelincir sewaktu cuba menembak seekor babi hutan.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd. Zamri Mohd. Rowi berkata, sewaktu kejadian, mangsa secara sukarela telah menjadi penunjuk arah kepada dua anggota Perhilitan dalam operasi memburu babi hutan yang menjadi kebimbangan penduduk Kampung  Padang Buloh di sini.

Beliau berkata, tidak lama kemudian, mereka terserempak dengan seekor babi hutan yang melintas hadapan kenderaan pacuan empat roda, Toyota Hilux dinaiki.

"Biar pun sudah terkena dua das yang dilepaskan salah seorang anggota Perhilitan terlibat, haiwan liar itu dikatakan masih tidak mati.

"Sewaktu mahu mengubah kedudukan untuk melepaskan tembakan ketiga, anggota Perhilitan berusia 33 tahun terbabit tiba-tiba tergelincir dan senapang patahnya terjatuh sebelum mangsa yang berada berhampiran terkena tembakan yang dilepaskan tersebut," katanya kepada Kosmo! di sini hari ini.

Mohd. Zamri berkata, sewaktu kejadian, anggota Perhilitan berkenaan dan mangsa berada di bahagian kabin belakang kenderaan pacuan empat roda terbabit.

Menurut beliau, Mohd. Saiful yang cedera parah akibat peluru tabur itu telah dikejarkan ke Unit Kecemasan Hospital Besut di sini untuk menerima rawatan.

"Mangsa kemudiannya dirujuk ke Hospital Universiti Sains Malaysia,  Kubang Kerian, Kelantan untuk rawatan susulan. - K! ONLINE

No comments:

Post a Comment