Translate

Sunday, February 25, 2018

Sasar hasil 4,800 tan udang putih

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

SETIU – Syarikat subsidiari Khazanah Nasional Bhd., Blue Archipelago Bhd. (Blue Archipelago)  me­nyasar untuk meningkatkan pengeluaran udang putih di Ladang Akuakultur Udang Bersepadu (iSharp) Kampung Nyatuh dekat sini kepada 4,800 tan pada tahun ini.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Blue Archipelago, Wan Nadhri Wan Fauzi berkata, ang­ka itu merupakan peningkatan kira-kira 24 peratus berbanding 3,900 tan tahun lalu.

“Blue Archipelago yang turut mempunyai sebuah lagi ladang udang di Kerpan, Ayer Hitam, Kedah, telah menjana pendapatan keseluruhan sebanyak RM72 juta pada tahun 2017.

“Sebanyak 90 peratus udang putih keluaran kami dijual untuk pasaran tempatan dan kami menyasar untuk muncul sebagai peneraju pasaran domestik bagi udang putih dalam beberapa tahun akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri upacara pelepasan 400,000 benih udang putih yang disempurnakan oleh Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abd. Rahman di i-Sharp Kampung Nya­tuh dekat sini semalam.

Wan Nadhri menjelaskan, harga udang putih yang kekal tinggi sejak tahun lalu menyebabkan Blue Archipelago memberi tumpuan kepada pasaran tempatan.

Ujarnya, mengikut gred udang berkenaan, harga di pasaran boleh berada di antara RM22 sehingga RM45 sekilogram.

Menurut beliau, kebanyakan pelanggan udang putih i-Sharp Kampung Nyatuh merupakan pengusaha restoran dan gerai udang celup tepung, terutama­nya di Pantai Rhu Sepuluh di sini.

“Selain itu, udang putih keluaran Blue Archipelago turut dieksport ke China, Jepun, New Zealand, Singapura dan Perancis,” katanya.

Blue Archipelago diwujudkan pada 7 Jun 2004 dan berperanan untuk menghasilkan udang-udang berkualiti tinggi yang 100 peratus selamat dan memenuhi standard eksport antarabangsa yang ketat, sekali gus membolehkan ia bersaing dengan pengeluar utama lain di dunia.

Antara pensijilan yang dite­rima syarikat itu adalah halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Amalan Akuakultur Terbaik dan Amanah Global daripada Perikatan Akuakultur Global dan Jabatan Perikanan Malaysia.

No comments:

Post a Comment