Ketua Pegawai Eksekutif Bank Islam, Khairul Kamarudin berkata, pihaknya mengunjurkan untuk mengeluarkan sebanyak 50,000 kad debit kepada pelanggan khususnya dalam kalangan ahli pasukan bola sepak di Pantai Timur sepanjang tahun ini.
Menurutnya, setiap kad debit yang dikeluarkan dan diperbaharui, sumbangan RM2 akan disalurkan Bank Islam kepada PBSNT sebagai inisiatif untuk meningkatkan lagi mutu bola sepak Terengganu.
“Kerjasama Bank Islam dengan PBSNT merupakan jalinan ketujuh kami dengan Visa bersama persatuan-persatuan bola sepak di seluruh negara.
“Ia bermula dengan Persatuan Bolasepak Malaysia dan enam persatuan bola sepak negeri lain iaitu Kelantan, Pahang, Kedah, Selangor dan Melaka.
“Sebanyak 700,000 kad debit melibatkan penjenamaan bersama ini telah dikeluarkan sejak tahun 2016 dan melibatkan pengagihan insentif lebih RM9 juta kepada persatuan bola sepak terlibat sehingga tahun lalu.” katanya.
Beliau berkata demikian selepas melancarkan Kad Debit-i Bank Islam Visa Terengganu FC ‘Peteh Terengganu Peteh’ di sini semalam.
Turut hadir Timbalan Presiden PBSNT, Datuk Wan Nawawi Wan Ismail dan Ketua Jurulatih TFC, Irfan Bakti Abu Salim.
Khairul menjelaskan, Kad Debit-i Visa TFC boleh didapati di semua enam cawangan Bank Islam di Terengganu dan beberapa cawangan terpilih di Lembah Klang.
Menurut beliau, pemegang kad debit-i Bank Islam yang berminat untuk memiliki kad debit-i TFC boleh mendaftarkannya sebagai kad kedua dan seterusnya bagi akaun bank sama tanpa tidak perlu membatalkan kad sedia ada.
“Pemegang kad debit ini berpeluang untuk memenangi pelbagai hadiah termasuk ganjaran wang tunai RM2,000 dan barangan bola sepak bernilai RM500 jika melakukan transaksi perbelanjaan runcit minimum RM50 sehingga 14 Jun depan.
No comments:
Post a Comment