KEMAMAN – Pengeluar kuih bulan bumiputera, Sedeh Sokmo MMDT Sdn. Bhd. (Sedeh Sokmo) meletakkan sasaran untuk memasuki rangkaian pasar raya di China pada pertengahan tahun ini.
Pengusahanya, Haziqah Nurul Huda Harun berkata, penempatan produk kuih bulan berjenama Victory Yaya atau lebih dikenali ramai sebagai Kuih Bulan Yaya keluaran syarikat itu di negara berkenaan adalah bagi memenuhi permintaan tinggi penggemar kuih tradisional tersebut.
“Kita menyasarkan 30,000 biji Kuih Bulan Yaya akan memasuki rangkaian pasar raya di China selepas proses dokumentasi selesai pada pertengahan tahun ini.
“Kuih Bulan Yaya yang diperbuat daripada sumber halal dan tidak mengandungi bahan pengawet mendapat sambutan menggalakkan terutama dalam kalangan golongan vegetarian,” katanya ketika ditemui di kilangnya di Teluk Kalong dekat sini baru-baru ini.
Haziqah Nurul Huda yang turut dikenali sebagai Yaya berkata, sebelum ini, pelanggannya di China membeli kuih bulan keluaran syarikatnya menerusi dua stokis warga negara itu yang dilantik.
Dalam perkembangan sama, beliau yang juga golongan berkelainan upaya memberitahu, permintaan domestik terhadap kuih bulan keluarannya turut meningkat mendadak sejak pembukaan kilang Sedeh Sokmo pada Oktober tahun lalu.
Menurutnya, pengeluaran yang mencecah 40,000 biji setiap bulan dan kuih bulan di kilang terbabit dipasarkan oleh 50 ejen Sedeh Sokmo di seluruh negara.
Yaya, yang lumpuh selepas mengalami demam panas enam tahun lalu, mempelajari kaedah pembuatan kuih bulan daripada seorang rakan Facebook yang juga seorang cef dari China.
Dia kemudiannya memulakan perniagaan membuat kuih itu secara kecil-kecilan di rumahnya sejak tahun 2014 sebelum berkembang dengan pembukaan kilang di sini.
No comments:
Post a Comment