Translate

Thursday, February 1, 2018

Dua geng menyamar polis untuk samun pekerja asing tumpas

MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU - Kegiatan dua geng yang giat menyamun pekerja asing di beberapa rumah kongsi sekitar daerah Kemaman lumpuh dengan penahanan 13 anggotanya termasuk sembilan remaja bawah umur baru-baru ini.

Kesemua suspek berusia dalam lingkungan 14 hingga 25 tahun termasuk seorang remaja perempuan yang dipercayai anggota Geng Shahrul dan Acik berkenaan ditahan secara berasingan di sekitar bandar Chukai, Kemaman pada Sabtu hingga Isnin lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner Mohd. Fazlisyam Abdul Majid berkata, siasatan awal mendapati kedua-dua geng berkenaan telah terlibat dalam sekurang-kurangnya sembilan kes samun pekerja asing kebanyakannya terdiri daripada warganegara Myanmar dan Indonesia.

"Modus operandi Geng Shahrul dan Acik ini sama iaitu memasuki rumah kongsi mangsa dengan menyamar sebagai anggota polis sebelum menyamun pekerja warga asing itu dengan menggunakan senjata seperti parang dan kayu.


"Kesemua sembilan kes samun terbabit dilaporkan dilakukan di beberapa rumah kongsi di daerah Kemaman seperti Kampung Geliga Sempadan, Kampung Paya Berenjut, Chukai dan Bandar Baru Bukit Mentok, Kemaman sejak awal bulan Januari lalu," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontijen Terengganu di sini hari ini. - K! ONLINE

No comments:

Post a Comment