Translate

Thursday, February 8, 2018

Skim Wakaf Tunai Terengganu semakin kukuh selepas 10 tahun

WAKAF merupakan salah satu ibadat umat Islam terutama yang berkemampuan untuk menghampiri Allah menerusi penyerahan sebahagian harta kekayaan mereka bagi manfaat orang ramai.

Islam menggalakkannya berdasarkan firman Allah di dalam ayat 261, surah Al-Baqarah yang bermaksud :

"Perumpamaan bagi orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi setiap yang dikehendakiNya dan Allah Maha Luas (rahmat) kurniaNya, lagi meliputi ilmu pengetahuanNya."

Harta wakaf merupakan hak milik Allah yang tidak boleh dijual beli, diwarisi mahu pun dihibah dan ia mempunyai empat rukun iaitu wakif (orang yang berwakaf), mauquf (harta), mauquf alihi (golongan yang akan mendapat manfaat daripada harta tersebut) dan sighah (lafaz akad).

Selain memberi manfaat secara terus kepada golongan yang diniatkan, wakaf juga merupakan medium kepada pengembangan aset umat Islam sekiranya diurus dengan baik.

Pada masa kini, cara berwakaf telah dipermudahkan dan tidak terhad kepada mereka yang benar-benar kaya-raya sahaja. Orang kebanyakan juga masih boleh memperolehi pahala berterusan daripada amalan wakaf secara tunai serendah RM5 sebulan.

Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) telah mengambil inisiatif melancarkan skim Wakaf Tunai Terengganu (WTT) sejak 10 tahun lalu bagi memudahkan orang Islam melakukan amalan mulia berkenaan.

Yang Dipertua MAIDAM, Datuk Shaikh Harun Shaikh Ismail berkata, pengenalan skim WTT itu selaras dengan keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan kali ke-77 yang memutuskan berwakaf dalam bentuk wang tunai dibolehkan dalam Islam pada April 2007.

Beliau berkata, fatwa itu berdasarkan senario pelaksanaan wakaf dinar dan dirham (mata wang pada masa itu) yang dibenarkan Imam Az-Zuhri pada abad kedua Hijrah.

"Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Terengganu kali ketujuh tidak lama selepas itu telah memutuskan juga skim wakaf tunai dibenarkan untuk pelaksanaan.

"Sehubungan itu, skim WTT telah dilancarkan oleh Datuk Seri Idris Jusoh yang merupakan Menteri Besar Terengganu pada masa itu pada 27 Disember 2007," katanya.

Shaikh Harun berkata, skim berkenaan berjaya mengumpul aset wakaf dari seluruh Terengganu berjumlah keseluruhan RM1.7 juta sehingga November lalu.

Ujar beliau, dengan tahun 2017 berbaki hampir dua minggu lagi, MAIDAM menyasar skim WTT mampu berjaya mengumpul aset wakaf keseluruhan sehingga RM2 juta menjelang akhir bulan ini.

"Kesemua kutipan wang tunai menerusi skim WTT itu termasuk RM39,000 dalam bentuk potongan gaji bulanan akan ditukar kepada aset bersifat kekal seperti rumah kedai.

"Ia seperti yang disyaratkan oleh prinsip wakaf iaitu harta yang diwakafkan mestilah bersifat 'muabbad' (kekal) dan tidak boleh habis," ujarnya.

Shaikh Harun berkata, MAIDAM selaku pemegang amanah tunggal bagi aset-aset wakaf berkenaan membangunkannya untuk mendapatkan hasil.

Menurut beliau, sebanyak 60 peratus daripada hasil yang diperoleh dari aset wakaf terbabit disalurkan untuk tiga sektor iaitu sosial, pendidikan dan agama.

"Ia merangkumi bantuan kepada fakir miskin, bantuan kesihatan dan perubatan, bantuan pendidikan dan pembinaan masjid dan surau serta penajaan aktiviti keagamaan.

"Baki 40 peratus hasil dari aset wakaf tersebut pula dilaburkan semula. Ia merupakan pendekatan bagi memastikan pengurusan wakaf yang tersusun dan pada masa sama dapat membantu sosio-ekonomi dan mengembangkan lagi ekonomi umat Islam," katanya.

Shaikh Harun berkata, orang ramai boleh beramal menerusi skim WTT menerusi potongan gaji, perbankan Internet, sumbangan di kaunter MAIDAM dan tabung yang disediakan di kaunter pungutan zakat majlis itu.

Beliau berkata, wakaf tunai WTT juga boleh dilaksanakan dengan menyumbang melalui Jompay menerusi biller kod 34116 yang memudahkan lagi orang ramai menyertainya secara dalam talian.

"Individu yang menyertai skim WTT menerusi potongan gaji juga layak menerima penolakan cukai pendapatan daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri.

"Saya harap orang Islam terutama rakyat Terengganu sebanyak mungkin dapat memanfaatkan kemudahan ini demi kepentingan ummah dan niat menerima pahala berterusan," katanya.

No comments:

Post a Comment