Translate

Sunday, February 4, 2018

McDonald’s sedia kemudahan surau di semua cawangan

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – McDonald's Malaysia akan menyediakan kemudahan surau di semua 265 rang­kaian restoran makanan segeranya di seluruh ne­gara demi keselesaan pe­langgan beragama Islam.
Pengarah Operasi McDonald’s Malaysia, Mohd. Fairul Maan berkata, sehingga kini, kemudahan surau terbabit terdapat di 18 restoran rangkaiannya termasuk yang terbaharu di Kuala Terengganu di sini.

Beliau berkata, selain cawangan Kuala Terengganu yang terletak di Hiliran di sini, sebanyak, 15 restoran McDonald’s di Selangor dan dua di Perak turut mempunyai kemudahan surau yang selesa.

“Kami bercadang untuk menyediakan surau di restoran rangkaian kami menerusi program pengubahsuaian yang akan dilakukan secara berperingkat di seluruh negara dalam masa terdekat ini, ia akan melibatkan kira-kira 20 cawangan.

“Bagi projek pembinaan cawa­ngan baharu pada tahun ini, ia akan melibatkan sekurang-kurangnya 10 buah lagi rangkaian yang bakal dilengkapi dengan kemudahan surau,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan wajah baharu restoran Mcdonald’s cawangan Kuala Terengganu di sini baru-baru ini.

Mohd. Fairul menjelaskan, sebelum ini penggunaan kemudahan surau di kesemua rangkaian Restoran McDonald’s di seluruh negara terhad untuk kegunaan kakitangannya yang beragama Islam sahaja.

No comments:

Post a Comment