Translate

Tuesday, February 27, 2018

Mat Dan kini berstatus Penduduk Tetap

KUALA NERUS – Pengacara ranca­ngan Travelog di Astro, Kareef Daniel Abdullah, 29, atau lebih dikenali sebagai Mat Dan yang fasih berbahasa Melayu dialek Terengganu kini berstatus Penduduk Tetap (MyPR).

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi me­ngumumkan kelulusan permohonan tersebut sewaktu merasmikan Ekspo Terengganu di hadapan lebih 40,000 hadirin semalam.

“Saya diberitahu kita ada seorang ikon yang telah di ‘Terengganukan’ (iaitu)­ Mat Dan. Saya ingin umumkan permohonannya untuk menjadi penduduk Tetap telah diluluskan,” katanya pada majlis perasmian Ekspo Terengganu yang diadakan di pekarangan Kompleks Sukan Terengganu di sini semalam.

Hadir sama, Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abd. Rahman.

Ahmad Zahid berkata, kelulusan MyPR diberikan kepada Mat Dan selepas pemeriksaan Kementerian Dalam Negeri mendapati lelaki Inggeris yang berasal dari Bristol, Britain itu telah memenuhi kesemua kriteria ditetapkan.

Menurut beliau, kerajaan turut mengambil kira sumbangan dan komitmen tidak berbelah bahagi yang telah diberikan Mat Dan dalam mempromosikan Terengganu dan Malaysia terutama dalam sektor pelancongan selama ini.

Sementara itu, Mat Dan yang juga Duta Ekspo Terengganu berkata, beliau gembira dan bersyukur diterima sebagai Penduduk Tetap setelah hampir sembilan tahun bermastautin di negara ini.

Menurutnya, permohonan status MyPR dibuat selepas beliau melangsungkan perkahwinan dengan Nadifa Adnan yang berasal dari Chendering, Kuala Terengganu pada 12 Mac tahun lalu.

“Saya terkejut kelulusan permohonan MyPR saya diumumkan sendiri oleh Timbalan Perdana Menteri (Ahmad Zahid),” katanya.

No comments:

Post a Comment