KUALA TERENGGANU – Sebuah kumpulan dikenali sebagai Geng Anak Jin yang dipercayai giat melakukan aktiviti pecah rumah di sekitar bandar raya ini dan daerah Marang berjaya dilumpuhkan berikutan penahanan lima anggotanya di beberapa lokasi pada 19 Disember hingga 4 Januari lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner Mohd. Fazlisyam Abdul Majid berkata, kesemua suspek berusia dalam lingkungan 16 hingga 47 tahun itu dipercayai terlibat dalam sekurang-kurangnya 10 kes pecah rumah di sekitar bandar raya ini dan daerah Marang sepanjang tahun lalu.
“Serbuan untuk memberkas kesemua suspek termasuk seorang wanita berusia 23 tahun turut menjumpai sebuah kamera dan dua lensa, bateri serta speedlight (lampu denyar) jenama Canon yang dipercayai barangan curi.
“Siasatan awal mendapati kumpulan ini juga menyasarkan barang kemas dan peralatan elektrik yang kemudian dijual kepada orang ramai selain wang tunai,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu di sini semalam.
Mohd. Fazlisyam berkata, modus operandi kumpulan itu adalah melakukan pemerhatian di rumah sasaran terlebih dahulu sebelum dua anggotanya memecah masuk premis itu pada waktu yang sesuai.
“Empat suspek lelaki termasuk dalang berusia 47 tahun didapati positif dadah jenis methampethamine. Kesemua suspek ditahan mengikut Akta Pencegahan Jenayah 1959 dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan,” katanya.
Sementara itu, katanya, seramai 13 anggota Geng Shahrul dan Acik yang disyaki menyamun pekerja asing di beberapa buah rumah kongsi sekitar daerah Kemaman berjaya ditahan polis.
Tambahnya, suspek berusia dalam lingkungan 14 hingga 25 tahun termasuk seorang remaja perempuan ditahan secara berasingan di sekitar bandar Chukai, Kemaman pada Sabtu hingga Isnin lalu.
No comments:
Post a Comment