Translate

Wednesday, February 7, 2018

Kuih bakul Yaya makin laris

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KEMAMAN – Perniagaan kuih bakul memberi rezeki kepada gadis orang kelainan upaya (OKU), Haziqah Nurul Huda Harun, 22, apabila tidak menang tangan menyiapkan tempahan pe­langgan sempena sambutan Tahun Baru Cina.

Dia yang lebih mesra dengan panggilan Yaya berkata, kira-kira 40,000 kuih bakul telah disiapkan sejak menerima tempahan penghujung bulan lalu.

Kata Yaya, dia mempelajari cara membuat kuih bakul dan kuih bulan menerusi kenalan Facebook yang juga seorang cef dari Beijing, China pada 2014 sebelum memulakan perniagaan secara kecil-kecilan.

“Saya menjangka menerima tempahan 100,000 biji kuih sepanjang sambutan Tahun Baru Cina tidak terma­suk 20,000 yang dieksport ke China.

“Dibantu 10 pekerja, saya terpaksa menghentikan sementara pengeluaran kuih bulan yang merupakan produk utama kilang ini untuk memberi fokus kepada kuih bakul,” katanya ketika ditemui Kos­mo! di kilangnya di Teluk Kalong dekat sini baru-baru ini.

Yaya yang lumpuh setelah mengalami demam panas kira-kira enam tahun lalu berkata, selain kuih bakul perisa asli dan durian, dia turut memperkenalkan dua perisa baharu tahun ini iaitu cempedak dan jagung.

Gadis berkerusi roda yang merupakan Tokoh Ikon Belia Terengganu 2017 itu berkata, sebanyak 100 kilogram (kg) durian, cempe­dak (60kg) dan jagung (20kg) diperlukan sebagai bahan mentah untuk menghasilkan tempahan kuih bakul.

“Perisa-perisa ini merupakan inovasi saya bagi memenuhi selera pelanggan tempatan khususnya orang Melayu,” ujarnya yang turut melantik 50 ejen sebagai pengedar di seluruh negara.

Orang ramai juga boleh melayari laman Facebook Victory Yaya Mooncake bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai produk Yaya.

No comments:

Post a Comment