Translate

Thursday, February 22, 2018

Tube Terengganu catat jualan RM5.3 juta

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

DUNGUN – Program Tunas Usahawan Belia Bumiputera (Tube) kendalian SME Corp. telah berjaya melahirkan seramai 284 usahawan baharu dari seluruh Terengganu sejak ia dilancarkan pada tahun 2014.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, menerusi program tersebut, usahawan belia terlibat mencatat nilai jualan terkumpul sebanyak  RM5.3 juta dari tahun 2014 hingga 2017.

“Semua usahawan tersebut menyertai program Tube dalam tiga fasa iaitu 114 peserta pada fasa pertama, 50 peserta (fasa kedua) dan 120 peserta (fasa ketiga).

“Bagi tahun 2018 pula, seramai 140 usahawan belia negeri bakal terlibat dalam program ini dengan peruntukan sebanyak RM2.1 juta dalam bentuk geran perniagaan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan ke kilang memproses kuih sejuk beku, Maz Frozen Food di Inkubator Industri Desa Pulau Serai di sini semalam.

Maz Frozen Food yang diusahakan oleh Saiful Nizam Marzuki, 28, yang juga salah seorang peserta program Tube.

Syarikatnya memasarkan produk sejuk beku berupa karipap dan ropa.
Ahmad Maslan menjelaskan, Saiful Nizam yang menceburi bidang perniagaan tersebut sejak tiga tahun lalu menerima bantuan peralatan bernilai RM190,000 daripada SME Corp.

Menurut beliau, berdasarkan maklum balas pelanggan, pengeluaran produk keluarannya telah  meningkat berkali ganda sejak menggunakan mesin prosesan kuih dan juga kemudahan bilik sejuk beku.

“Perniagaan ini berpotensi dan ia telah berkembang maju malah Saiful Nizam bercadang untuk memasarkan produk kuihnya ke pasar raya besar di seluruh negara,” jelasnya.

No comments:

Post a Comment