Translate

Monday, February 19, 2018

Harapan dan cabaran Taman Negeri Setiu Wetlands

PERASMIAN laluan santai, Boardwalk Setiu yang disempurnakan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin Isnin lalu memberi signifikan besar kepada Tanah Bencah Setiu atau lebih dikenali sebagai Setiu Wetlands.

Upacara bersejarah itu bukan hanya untuk meraikan Hari Tanah Bencah yang disambut pada setiap 2 Februari tetapi merupakan batu asas bagi meletakkan Setiu Wetlands yang kaya dengan kepelbagaian biodiversiti sebagai destinasi eko-pelancongan terunggul rantau ini.

Sebelum ini, seba­nyak 432 hektar dari 300,000 hektar keluasan tanah bencah itu telah diwartakan sebagai fasa pertama taman negeri Terengganu pada penghujung tahun lalu.

Sultan Mizan sewaktu bertitah merasmikan Boardwalk Setiu sepanjang 550 meter telah menggariskan secara jelas hala tuju  Setiu Wetlands sebagai taman negeri.

Baginda bertitah, ekosistem di Setiu Wetlands yang menjadi habitat pelbagai spesies flora dan fauna tidak boleh diganggu gugat di sebalik kerja-kerja pembangunan bagi menjadikan lokasi yang meliputi satu pertiga daerah Setiu sebagai destinasi eko-pelancongan.

Pada masa sama, Sultan Mizan juga mahu penglibatan komuniti setempat yang telah menghuni kawasan sekitar tanah bencah berkenaan sejak sekian lama tidak dinafi dan dipinggirkan.

Baginda turut mencadangkan agar aktiviti eko-pelancongan se­perti menyelusuri sungai, lawatan ke sangkar ikan, melihat habitat tuntung dan penyu, pemerhatian burung, flora serta fauna melibatkan penduduk setempat sebagai pemandu pelancong dilaksanakan di Setiu Wetlands.

Sultan Mizan juga mahu pewartaan Setiu Wetlands dapat memberi tambah nilai terhadap perusahaan sedia ada seperti penternakan lebah madu, pembuatan tikar kercut dan makanan, pe­ngutipan tiram, kerang serta pembenihan akuakultur.

Pensyarah Pusat Pengajian Sains Marin dan Sekitaran Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Dr. Jarina Mohd. Jani berkata, pe­wartaan fasa pertama sebahagian Setiu Wetlands sebagai taman ne­geri itu merupakan ‘kemenangan’ besar kepada pengkaji dan pencinta alam sekitar.

Beliau berkata, pewartaan tersebut telah diperjuangkan sekian lama dan hasil penyelidikan UMT selama lebih 20 tahun mendapati tanah bencah terbabit memiliki 29 spesies haiwan mamalia, 161 burung, 36 reptilia dan 37 ikan.

“Sepanjang kajian tersebut, kami menjum­pai pelbagai spesies flora dan fauna yang jarang ditemui dan hampir pupus.

“Antaranya pokok berus mata buaya, orkid liar, kepala monyet serta haiwan tuntung su­ngai, penyu hijau dan rama-rama,” katanya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.

Jarina yang juga Ketua Stesen Penyelidikan Setiu Wetlands berkata, dua spesies buaya iaitu tembaga dan jejulong juga telah ditemui di kawasan tanah bencah terbabit.

Menurut beliau, taman negeri itu juga kaya dengan pelbagai spesies kerangan seperti lokan, kerang bulu dan tiram selain udang serta ketam nipah.

“Setiu Wetlands yang merupakan tanah lembap berpantai terbesar dan paling utuh di Pantai Timur Semenanjung Malaysia unik kerana mempunyai sembilan ekosistem yang jarang dapat ditemui di lokasi lain.

“Ekosistem berkenaan ialah laut, pantai selut, lagun, muara, su­ngai, pulau, pantai, tasik dan hutan bakau,” ujarnya.

Sementara itu, Penolong Pegawai Daerah Setiu, Che Ku Mohd. Izzudin Che Ku Mahmood mengakui, pengurusan dan pengawasan 432 hektar Setiu Wetlands yang digazetkan sebagai fasa pertama taman negeri agak mencabar.

Beliau berkata, cabaran terbesar ialah memastikan ekosistem Setiu Wetlands sebagai kawasan tanah air tawar yang penting dan kritikal terus dipulihara dan pada masa sama, kepentingan 61,700 penduduk yang menghuni di kawasan itu tidak diketepikan.

“Sebahagian daripada Setiu Wetlands sudah dibangunkan dan mempunyai aktiviti manusia.

“Oleh sebab itu, sebarang perancangan di kawasan bencah ini perlu dilakukan dengan berhati-hati dan secara berperingkat,” katanya.

No comments:

Post a Comment