Translate

Friday, February 23, 2018

Kreatifmarket.my bantu pasarkan karya seni fotografi tempatan

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

HULU TERENGGANU – MyNIC yang merupakan agensi penyediaan domain laman web nasional telah membangunkan platform pengkomersialan karya seni fotografi tempatan pertama di negara ini, krea­tifmarket.my.

Ketua Pegawai Eksekutif MyNIC, Datuk Hasnul Fadhly Hasan berkata, laman web itu bertujuan memperbanyakkan lagi kandungan genre fotografi stok bercirikan tempatan.

“Berdasarkan kajian MyNIC yang juga agensi di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia, kebanyakan fotografi stok yang menjadi gambar hiasan untuk akhbar, majalah dan laman web tempatan berasal dari luar negara disebabkan kurangnya penawaran.

“Kita harap kreatifmarket.my akan setan­ding laman web berkaitan fotografi antarabangsa seperti Shutterstock, Getty Images dan 123rf,” katanya selepas merasmikan Bengkel Seminar Fotografi peringkat Hulu Terengganu di Kuala Berang di sini kelmarin.

Seramai 150 belia tempatan dari sekitar daerah ini menyertai bengkel tersebut.

Hasnul Fadhly berkata, setakat ini, platform krea­tifmarket.my sudah mempunyai simpanan kira-kira 3,000 keping gambar genre stok fotografi.

Menurut beliau, setiap sekeping gambar yang terpilih untuk dalam data penyimpanan platform terbabit akan menerima bayaran daripada MyNIC pada amaun tertentu selain layak menerima royalti sekiranya foto terbabit digunakan agensi tertentu untuk tujuan komersial.

“Setakat ini kita masih dalam proses pengumpulan gambar genre stok fotografi sebelum menyasar untuk membuka platform itu bagi tujuan komersial pada pertengahan tahun ini.

“Kita juga menyasarkan untuk memperoleh lebih 10,000 keping gambar genre stok fotografi dalam data penyimpanan kreatifmarket.my menjelang akhir tahun ini,” katanya.

No comments:

Post a Comment