DUNGUN – Dua beradik yang berusia empat dan enam tahun mendakwa mereka mengekori seekor ikan besar sebelum ditemui dalam keadaan berpelukan di atas pokok bakau di alur Sungai Paka, Kampung Limbung Darat Kubur dekat sini kelmarin.
Sebelum dilaporkan hilang pada pukul 4 petang, Muhammad Zaidanie Amsyar Zaidi, 6, dan adik lelakinya, Muhammad Zaidanie Amar, 4, dikatakan bermain di tebing sungai berhampiran rumah neneknya, Rogayah Ibrahim, 60, di Kampung Alur Limbungan.
Ibu saudaranya, Roslinda Zakaria (gambar), 39, berkata, dua anak saudaranya yang merupakan murid Tadika Kemas Gong Gemia di Paka mendakwa mereka memasuki sungai berkenaan yang ketika itu agak cetek selepas tertarik dengan kelibat seekor ikan bersaiz besar yang berenang.
“Zaidanie Amsyar mendakwa, dia dan adiknya mengekori ikan yang tidak diketahui jenisnya tersebut sehingga memasuki kawasan paya bakau yang terletak kira-kira 800 meter dari lokasi terakhir mereka bermain.
“Kelibat ikan besar itu kemudian dikatakan hilang di celah-celah rimbunan pokok bakau sebelum mereka tanpa sedar mendakwa telah memanjat pokok tersebut setinggi kira-kira 3.4 meter,” katanya kepada Kosmo! semalam.
Roslinda memberitahu, anak saudaranya itu mendakwa paras Sungai Paka pula meningkat secara mendadak menyebabkan kedua-dua beradik itu tidak tahu mahu buat apa selain terus berpaut di atas pokok bakau itu.
Menurut wanita itu lagi, suasana kemudian gelap dan sejuk menyebabkan Zaidanie Amsyar dan Zaidanie Amar saling berpelukan dan menangis ketakutan di atas pokok bakau berkenaan.
“Tangisan dua anak saudara itu menjadi petunjuk kepada pasukan mencari dan menyelamat untuk menjumpai mereka di atas pokok bakau berkenaan pada pukul 9.45 malam.
“Alhamdulillah kedua-dua anak saudara itu selamat dengan hanya sedikit calar di badan. Begitupun semangat mereka masih lemah dan trauma dengan kejadian tersebut,” katanya.
No comments:
Post a Comment