Translate

Tuesday, February 6, 2018

Lelaki didakwa perkosa anak tiri

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Seorang pekerja ladang kelapa sawit mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini semalam atas dua pertuduhan memperkosa anak tirinya berusia 16 tahun 11 bulan yang kini hamil lapan bulan.

Tertuduh yang berusia 50 tahun membuat pengakuan itu apabila pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rofiah Mohammad.

Berdasarkan pertuduhan pertama, lelaki itu didakwa merogol anak tirinya di bahagian ruang tamu rumah mereka di Kampung Tok Dor, Jerteh, Besut pada pukul 3 pagi, 25 Oktober 2017.

Dia juga dituduh melakukan perbuatan sama terhadap ­mangsa yang merupakan pelajar tingkatan empat sebuah sekolah di Besut pada pukul 9 pagi, 22 Mac 2015.

Bagi kedua-dua pertuduhan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan sebatan sekurang-kurangnya 10 kali, jika sabit kesalahan.

Rofiah tidak membenarkan tertuduh dibebaskan dengan ikat jamin dan menetapkan sebutan semula kes pada 28 Februari depan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Rohaiza Abd. Rahman manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.

Perbuatan keji tertuduh didakwa terbongkar selepas seorang guru sekolah menyedari perubahan fizikal mangsa pada 21 Januari­ lalu.
Pemeriksaan perubatan mengesahkan mangsa sedang hamil lapan bulan sebelum laporan polis dibuat yang membawa kepada penahanan tertuduh.

No comments:

Post a Comment