Translate

Sunday, February 11, 2018

‘Anak jalanan’ ada perakuan JKM boleh bersekolah

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

HULU TERENGGANU – Kementerian Pendidikan kini membenarkan kanak-kanak yang tidak diketahui asal usul atau dikenali sebagai ‘anak jalanan’ memasuki sekolah biarpun tidak memiliki dokumen kelahiran lengkap.

Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, kanak-kanak itu dibenarkan bersekolah di mana-mana sekolah bantuan kerajaan dengan syarat mendapat perakuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) atau mahkamah berhubung statusnya.

“Sebelum ini, kementerian telah melonggarkan syarat dengan salah seorang daripada ibu bapa kanak-kanak yang mahu memasuki sekolah itu mesti warganegara (Malaysia).

“Begitupun, timbul pula isu berkaitan ‘anak jalanan’ yang tidak diketahui asal usul dan me­netap di rumah kebajikan kelolaan JKM. Kita telah buat keputusan mereka boleh bersekolah asalkan mempunyai perakuan status daripada agensi itu,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Kolej Tingkatan Enam Hulu Terengganu, Kuala Berang di sini semalam.

Turut hadir Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Seri Jailani Johari dan Pengarah Pendidikan negeri, Shafruddin Ali Hussain.

Mengulas lanjut, Mahdzir memberitahu, perakuan JKM itu perlulah mengandungi maklumat kanak-kanak itu dijumpai, rumah kebajikan yang dihuni dan tempoh masa dia dipelihara oleh agensi tersebut.

Tambahnya, bagi kanak-kanak yang dipelihara keluarga angkat pula, surat perakuan atau akuan bersumpah tentang kebenaran penjagaan sama ada daripada JKM atau mahkamah diperlukan bagi tujuan sama.

No comments:

Post a Comment