Translate

Friday, February 2, 2018

PKS-Uniten ikat TLHT 2-2 di Kuala Terengganu

PASUKAN Hoki Wanita Terengganu (TLHT) terpaksa berhempas pulas sebelum mencatat keputusan seri 2-2 dengan pencabar utama, Pusat Kecemerlangan Sukan Universiti Tenaga Nasional (PKS-Uniten) di Stadium Hoki Batu Burok, Kuala Terengganu semalam.

Biarpun masih mendahului carta Liga Hoki Wanita Malaysia (MWHL) dengan kutipan 14 mata daripada enam perlawanan, TLHT diekori rapat PKS-Uniten yang kekurangan dua aksi dengan 10 mata.

TLHT bermula garang apabila mendahului seawal minit pertama menerusi gol padang Nur Syuhada Suhaimi.

Begitupun kelebihan gol awal itu sekadar bertahan dua minit apabila PKS-Uniten berjaya menyamakan kedudukan pada minit ketiga.

Jaringan penyamaan pasukan pelawat itu dihasilkan pemain wanita kebangsaan, Nurul Nabihah Mansor yang bijak menyempurnakan pukulan sudut penalti menewaskan penjaga gol TLHT, Mas Huzaimah Md. Aziz.

Penyerang remaja kebangsaan, Nur Zafirah Aziz kemudiannya meletakkan PKS-Uniten pula di hadapan menerusi gol padang pada minit ke-34.

TLHT yang juga juara bertahan bagaimanapun pantas menyamakan kedudukan juga menerusi gol padang oleh Norfatin Nabila Mohamad selang seminit kemudian.

No comments:

Post a Comment